Kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara selepas persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak harus disalah tafsir sebagai satu krisis kehakiman, tegas ADUN Pulau Tikus. Joshua Woo Sze Zeng.
Menurut beliau, walaupun timbul pelbagai spekulasi berikutan kelewatan pengumuman pengganti Ketua Hakim, keadaan itu bukan perkara baharu dan tidak wajar dilabel sebagai krisis.
“Apabila Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 2019, jawatan itu juga dibiarkan kosong selama 19 hari sebelum pelantikan baharu dibuat.
“Tengku Maimun pada waktu itu hanya dilantik pada Mei 2019. Sekarang ini baru beberapa hari jawatan Ketua Hakim Negara kosong,” katanya dalam satu perkongsian di TikTok baru-baru ini.
Untuk rekod, Hakim ketiga tertinggi Malaysia, Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim, menggalas tugas Ketua Hakim Negara berikutan persaraan Tengku Maimun pada 2 Julai.
Hakim Hasnah akan melaksanakan kuasa Ketua Hakim Negara “sehingga jawatan itu diisi”.
Sementara itu Joshua berkata, kekosongan sementara dalam jawatan tertinggi badan kehakiman bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak seharusnya dibimbangi secara berlebihan.
“Pakar perundangan seperti Profesor Shad Saleem Faruqi dan Jabatan Peguam Negara juga berpendapat tiada krisis kehakiman berlaku,” ujarnya.
Beliau mengakui bahawa kebimbangan orang ramai terhadap isu kebebasan badan kehakiman adalah sesuatu yang sah dan wajar diambil perhatian.
Namun katanya, ramai yang terlepas pandang hakikat bahawa tiga cabang kerajaan iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman tidak beroperasi secara terasing, sebaliknya saling bergantung dalam sistem pentadbiran negara.
Untuk memahami lebih mudah, Menurut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong secara rasmi melantik Ketua Hakim Negara.
Tetapi, Agong hanya melantik selepas dua perkara berlaku iaitu menerima nasihat daripada Perdana Menteri, dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Sementara itu, ada satu badan lain iaitu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang akan bertindak memberi senarai cadangan nama kepada Perdana Menteri.
Baca juga: ‘Berhentilah memalukan keluarga, suami tercinta’ – Hantaran Nabila Huda cetus tanda tanya