Pengasas Bujins Batik meluahkan rasa bangga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenakan pakaian hasil karyanya dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), semalam.
Perkongsian yang dimuat naik pengasas terbabit di akaun Facebook rasmi milik butiknya sekali gus turut menafikan dakwaan konon pemimpin nombor satu negara memakai baju batik Indonesia dalam sesi pembentangan itu.
Tinjauan di akaun Facebook itu mendapati Anwar Ibrahim sudah beberapa kali memakai baju batik hasil karya butik berkenaan ketika acara rasmi kerajaan termasuklah waktu melakukan kunjungan ke Indonesia baru-baru ini.
Difahamkan, butik Bujins yang berpangkalan di Tunjung, Kelantan itu sebenarnya diasaskan oleh anak kelahiran Kota Bharu iaitu Amir Harith Mat Kashim atau lebih mesra disapa sebagai Bujin.
“Bangga melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memakai baju batik hasil karya Bujins pada sesi pembentangan RMK13 di Parlimen pagi ini,” katanya yang turut memuat naik gambar pemimpin itu menggayakan hasil karyanya.
Malah menurut graduan Institut Kraf Negara itu, karyanya kini mendapat sambutan hebat di tengah kehangatan isu baju batik Perdana Menteri sehingga membuatkan laman web butik berkenaan sesak untuk diakses.
Terdahulu, isu tersebut timbul selepas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mempersoal tindakan Anwar memakai baju batik corak Indonesia dan memintanya lebih berhati-hati memilih pakaian ketika pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat.
Hantaran tersebut bagaimanapun dipadam oleh Ahmad Amzad selepas menerima teguran dan maklum balas dari beberapa usahawan batik termasuklah pengeluar pakaian digayakan Anwar mengenai dakwaan yang dilemparkan olehnya itu.
Ahmad Amzad mengakui kekhilafan dan memohon maaf selain menyifatkan hantaran sebelum ini sebagai teguran kecil dan perkongsian pandangan sebagai wakil rakyat yang prihatin terhadap industri batik tempatan.
Baca juga: MP Pas padam posting, mohon maaf tuduh PMX pakai baju batik Indonesia