Seorang guru di sebuah sekolah menengah dilaporkan telah digantung tugas selepas bertindak di luar kawalan dengan mencukur rambut pelajar perempuan.
Mengejutkan, seramai 19 orang pelajar perempuan bertudung difahamkan telah menjadi mangsa di dalam kejadian yang berlaku pada 23 Ogos lalu itu.
Membuat keputusan sendiri, guru yang mengajar Bahasa Inggeris itu sanggup bertindak sedemikian hanya kerana pelajar tersebut enggan memakai anak tudung.
Ketika mahu pulang ke rumah, pelajar-pelajar itu dikatakan dipanggil oleh guru berkenaan untuk menerima hukuman memotong rambut menggunakan mesin cukur.
Pelajar yang terlibat kemudian menceritakan kejadian tersebut kepada ibu bapa mereka sebelum perkara itu dilaporkan kepada pihak atasan sekolah.
Oleh kerana tiada peraturan yang mewajibkan pelajar perempuan untuk memakai anak tudung, para ibu bapa merasa tidak puas hati dengan tindakan guru tersebut.
Selepas kejadian itu diselesaikan secara baik dengan inisiatif pihak sekolah, guru berkenaan bagaimanapun telah digantung tugas buat sementara waktu.
Memetik laporan Kompas.com, kejadian tersebut difahamkan berlaku di sekolah menengah yang terletak di Lamongan, Jawa Timur, Indonesia.
Pengetua sekolah, Sukodadi Harto memaklumkan bahawa sesi rundingan bersama ibu bapa telah dilakukan sehari selepas kejadian yakni pada 24 Ogos.
Ibu bapa pelajar kemudian bersetuju untuk memaafkan selepas guru berkenaan mengakui apa yang dilakukannya adalah salah.
Guru berkenaan kemudian mula digantung tugas pada Isnin lalu (28 Ogos) selepas arahan dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Daerah Lamogan.
“Setelah kejadian baru-baru ini, guru yang terlibat kita gantung buat sementara waktu. Soal berapa lama digantung itu nanti kita akan membuat penilaian lanjut.
“Pergantungan ini sekaligus menjadi pengajaran kepada sekolah-sekolah lain untuk mencari pendekatan lain (dalam mendidik pelajar),” kata Ketua Jabatan itu, Munif Syarif.
Menurut Munif, bantuan psikologi juga disediakan oleh pihak sekolah sekiranya ada di antara 19 pelajar yang terlibat mengalami trauma akibat daripada kejadian tersebut.