Cucu Tun M rugi cecah RM1.8 juta akibat rumah dipecah masuk, barang kemas dilarikan

Oleh MALAYSIADATELINE

Cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mengalami kerugian mencecah RM1.8 juta selepas kediamannya yang terletak di Bukit Ledang, Bukit Damansara, Kuala Lumpur dipecah masuk.

Menurut sumber, kejadian pecah masuk itu dipercayai berlaku ketika pemiliknya tidak berada di kediaman yang hanya didiami oleh pembantu rumah bersama dua orang pengawal keselamatan.

Laporan mengenai kejadian itu kemudian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam selepas pemantu rumah menyedari bahawa kediaman tersebut dipecah masuk pada Rabu lalu.

Hal ini berikutan pembantu rumah berkenaan mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah telah dipotong sebelum bertindak memeriksa barangan di bilik mangsa, lapor Berita Harian.

“Kejadian disedari sekitar jam 3 petang, Rabu lalu selepas pembantunya mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan bilik mangsa dimasuki pencuri selepas dia memeriksa barang di dalam bilik.

“Pembantu mendapati sejumlah barang kemas telah hilang dan memaklumkan kepada majikannya sebelum laporan polis dibuat keesokkan harinya,” dedah sumber memetik laporan Berita Harian.

Kejadian pecah masuk tersebut kemudian disahkan oleh Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan yang memaklumkan siasatan lanjut berhubung kehilangan barang kemas itu dijalankan.

“Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kerugian dianggarkan bernilai RM1.8 juta iaitu membabitkan kehilangan barang kemas di bilik mangsa. Suspek setakat ini masih belum dikenal pasti.

“Pihak polis masih meneliti kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di kediaman terbabit,” jelasnya memberitahu perkembangan kes ketika diminta mengulas mengenainya oleh pihak media.

Baca juga: Warga Bangladesh di Malaysia raih gaji RM5,200 sebulan sebagai ‘supervisor’