Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan siri jelajah di Johor hari ini menerusi program Ramah Mesra Bersama PMX di Pekan Senggarang, Batu Pahat.
Beliau yang juga Perdana Menteri itu mengambil kesempatan untuk mendekati masyarakat setempat merentasi generasi dan kaum dalam program diadakan secara santai tersebut.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar yang juga Presiden PKR itu memaklumkan bahawa beliau sempat menyampaikan pesanan kepada rakyat untuk tidak memilih pemimpin terbabit dengan isu rasuah.
“Dalam suasana santai bersama masyarakat di Senggarang, saya tegaskan bahawa Bangsa Johor berhak mendapat kepimpinan yang bersih, berintegriti dan benar-benar bekerja demi kepentingan rakyat. Bukan untuk kepentingan kelompok tertentu.
“Pilihlah kepimpinan jujur dan punyai tekad membawa Johor serta Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik dengan penuh keyakinan dan HARAPAN. Johor Ke Depan. Undi HARAPAN,” katanya dalam hantaran tersebut.
Sekadar info, calon PH dari tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor turut hadir dalam program itu melibatkan Parlimen Batu Pahat iaitu Felicia Poh rui Ling (Penggaram), Onn Abu Bakar (Senggarang) dan Mohamad Yazid Bakri (Rengit).
Baca juga: Puad Zakarshi dedah punca naik ke pentas, sokong calon PH menang di PRN Johor