Dakwa masjid dah jadi tempat perlancongan, Kris Dayanti selamba tak tutup aurat

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama penyanyi lagenda Indonesia, Kris Dayanti kembali menjadi sebutan ramai setelah berdepan dengan kritikan hebat daripada masyarakat seberang.

Mana tidaknya, Kris Dayanti yang beragama Islam itu dikatakan telah bertindak keterlaluan apabila selamba masuk ke masjid dengan berpakaian tidak sopan.

Bukan sahaja tidak memakai tudung, pelantun lagu Menghitung Hari itu juga hanya mengenakan sepasang baju yang kelihatan ketat bersama skirt pendek.

Difahamkan, Kris Dayanti yang kini aktif sebagai ahli politik itu melawat masjid berkenaan dengan tujuan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.

Memetik laporan Suara.com, aktiviti yang mengundang sensasi itu dilakukan Kris Dayanti ketika melawat Masjid Tiban, Malang, Jawa Timur, Indonesia.

Tampil mempertahankan diri, wanita berusia 47 tahun itu mendakwa dirinya tidak perlu menutup aurat kerana rumah ibadat tersebut telah menjadi tempat perlancongan.

Hanya menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat, Kris Dayanti juga mengakui langsung tidak terkesan dengan kecaman hebat yang diterimanya itu.

“Saya tidak kisah (dikecam). Saya sedang melakukan aktiviti turun padang untuk bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat setempat.

“Bukan saya sahaja yang tidak menutup aurat. Ramai lagi pengunjung yang datang untuk menziarahi masjid tersebut turut tidak menutup aurat.

“Tempat itu sudah jadi tempat pelancongan kerana bukan orang Muslim sahaja yang datang ziarah. Jadi tidak harus bertudung,” katanya.

Kris Dayanti yang mesra disapa sebagai KD itu memaklumkan bahawa dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam dengan baik meskipun tidak menutup aurat.

“Insya-Allah, yang penting ibadah kita jangan terlambat. Masjid dan surau di sini juga banyak dan berfungsi dengan baik.” Tambahnya.

Baca juga: Penat je dulu bergaduh sampai dalam kain pun terbuka, Anju mengaku dah ‘getback’ dengan papa?