Jika dilihat di media sosial emakin banyak produk dipromosikan dengan dakwaan mampu menurunkan kadar gula dalam darah serta tekanan darah tinggi tanpa perlu bergantung kepada pengambilan ubat
Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesahihan tuntutan tersebut.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) tampil menegur segelintir usahawan dan pempengaruh media sosial untuk lebih bertanggungjawab.
Terutamanya dalam memilih produk yang dipasarkan kepada orang ramai, khususnya melibatkan produk berkaitan kesihatan.
Menurut PHM, bidang keusahawanan dan penggunaan pengaruh di media sosial merupakan perkara positif sekiranya dimanfaatkan untuk memberi kebaikan kepada masyarakat.
“Usahawan itu bagus. Influencer (pempengaruh) pun bagus bila guna pengaruh untuk bagi manfaat pada orang.
Tapi tolonglah pilih untuk jual produk yang selamat. Sambal dan makanan, kosmetik yang berdaftar, makanan sihat, pakaian, aksesori, barang guna harian.
“Benda macam ni orang beli dengan tenang,” kongsi PHM di Facebook.
Bagaimanapun, PHM menegaskan agar “produk kesihatan” tidak dijadikan jalan mudah untuk meraih keuntungan.
Lebih-lebih lagi apabila disertakan dengan dakwaan berlebihan seperti mampu merawat pelbagai penyakit, membuang toksin atau menyembuhkan masalah kesihatan tertentu.
“Yang kami minta, jangan jadikan ‘produk kesihatan’ sebagai jalan mudah. Lagi lagi bila mula bagi ayat boleh rawat macam macam penyakit, boleh buang toksin, boleh sembuh itu ini.
“Itu bukan marketing, itu memperdaya. Kalau nak bantu orang, jangan jual harapan palsu. Jaga rezeki. Jaga nama. Jaga kesihatan dan kepercayaan orang,” ujar PHM.
Baca juga: Ustaz Elyas Ismail setuju ‘coach cerai’ jadi kerjaya berlesen, risau jejas intitusi keluarga