Tular satu rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan tindak tanduk seorang lelaki yang agak mencurigakan di dalam sebuah masjid di Indonesia.
Dalam rakaman tersebut, terlihat aksi seorang lelaki yang menampal kod QR standard Indonesia (QRIS) palsu untuk mengutip wang infak di sebuah masjid di Jakarta Selatan.
Lapor laman berita Kumparan kelmarin, lelaki berkenaan terlihat sangat mencurigakan apabila menoleh ke arah kanan dan kiri bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
Lelaki yang berbaju biru itu kemudian dilihat melekatkan beberapa QRIS palsu di beberapa kotak sumbangan dalam masjid.
Tulisan pelekat tersebut bertulis ‘Membaik pulih masjid’ di samping ayat berbunyi: “Imbas QRIS untuk infak.”
Menurut Setiausaha Dewan Kesejahteraan Masjid Nurul Iman Blok M Square, Habibi Katin, QRIS palsu itu dipasang pelaku pada 6 April lalu ketika suasana sunyi.
“Kejadian itu berlaku pada waktu pagi yang sunyi. Kami mendapati adanya QRIS yang berbeza. Daripada 20 yang ada, 18 ditampal oleh lelaki tersebut,” katanya sambil menambah, kod-kod palsu itu telah dicabut.
Susulan kejadian itu, pihak pengurusan masjid memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak tertipu dengan kegiatan tersebut dan lebih berhati-hati.
Jemaah juga diingatkan agar memberi infak secara pembayaran tunai atau menghubungi ahli jawatankuasa masjid sekiranya mahu menyerahkan cek.
Baca juga: Pendakwaan gagal, kontraktor dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan edar dadah