Dapat ‘order’ 720 set, wanita rugi RM650 ditipu pelanggan

Oleh KIM SYAZIE

Apabila mendapat pesanan dalam kuantiti yang banyak, pemilik kedai seharusnya mengambil separuh deposit makanan yang dibeli.

Ini adalah untuk memastikan tiada kerugian terlalu banyak seandainya pembeli membuat keputusan untuk menarik diri pada saat akhir.

Menurut mStar, seorang pemilik kedai makan di sebuah medan selera di Gerik, Perak berkongsi pengalaman ditipu pelanggan.

Aishah Nita memaklumkan itulah pertama kali dia ditipu sepanjang sembilan tahun menjalankan perniagaan.

Menurut Aishah, satu hari dia telah menerima tempahan bagi menyiapkan makanan untuk tiga hari yang berjumlah 720 set makanan daripada seorang individu.

“Saya dihubungi oleh individu berkenaan pada 14 Julai lalu, meminta menyediakan set makanan untuk tiga hari sebanyak 240 set setiap hari.

“Orang tu minta 120 set untuk makan tengah hari, dan 120 set lagi untuk makan malam. Tak tahu kenapa, terdetik dah dalam hati perasaan kurang enak. Suami pun kata mintalah deposit.

“Tapi entah kenapa saya tak minta deposit kali ini. Mungkin sebab percayakan kata orang tu yang beritahu tempahan untuk askar.

“Saya kata dekat suami, kita tawakal sajalah. Kalau mereka datang ambil, itu rezeki kita… kalau tak ambil, kita sedekah. Saya tak mahu berburuk sangka,” katanya seperti dipetik mStar.

Tidak mahu berfikir negatif, Aishah dan pembantunya gigih menyiapkan makanan yang ditempah namun hampa apabila pelanggan tersebut tidak muncul seperti dijanjikan.

“Sebelum dia datang ambil tempahan pukul 1 tengah hari, dia ada hubungi minta pihak kami belikan bekas makanan plastik. Dia minta kami hubungi pihak syarikatnya pula untuk itu.

“Saya mohon maaf kepadanya dan beritahu tak dapat nak bantu beli. Tunggu punya tunggu, waktu yang dijanjikan, dia tak datang ambil makanan.

“Tengok-tengok nombor kami dah kena sekat. Sebenarnya terkilan sedikit tapi dalam masa yang sama, saya bersyukur sebab tak sempat siapkan yang 120 set lagi untuk makan malam,” ujarnya.

Selepas mengalami kerugian kira-kira RM650, dia dan suami akhirnya membuat keputusan untuk sedekah makanan tersebut kepada mereka yang layak.

Ini mungkin modus operandi terbaru para scammer, apa yang mereka mahukan sebenarnya adalah pemilik kedai untuk membuat pembayaran kepada kilang plastik.

Baca juga: “Tahun lepas saya dikecam baju ketat, tahun ini saya pakai longgar”, Aina Abdul jawab kenapa pakai blazer gergasi