Tidak semua kejayaan bermula dengan modal besar, itulah pengalaman yang dilalui oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali Mydin.
Menurusi audio siar Buat Saja, beliau berkongsi cara mencari modal ketika mula membuka kedai pertamanya di Masjid India.
Menurut beliau, ketika itu langsung tiada wang untuk dijadikan modal namun, sokongan daripada bapanya menjadi titik permulaan.
“Saya cakap dengan ayah, nak buka kedai. Ayah kata, ‘Okey, bukalah.’ Lepas tu dia tanya, ‘Duit dapat dari mana?’ Saya jawab, ‘Tak ada duit.’
“Ayah pun sama, dia kata dia pun tak ada duit. Tapi dia tambah, ‘Tak apa, awak guna nama saya’,” kongsinya dalam audio siar berkenaan.
Berbekalkan hanya ‘nama’, ayahnya meminta beliau menghubungi pembekal.
Disebabkan kepercayaan terhadap nama si ayah, pembekal sanggup memberikan barang secara hutang dengan syarat dibayar semula.
Nama kedai diberi Mydin, tetapi pemiliknya ketika itu ialah beliau bersama abangnya. Apa yang penting, setiap hutang tetap perlu dilangsaikan, itulah prinsip yang dipegang hingga kini.
Cabaran memohon pinjaman
Kisah inspirasi tidak terhenti di situ, beliau pernah berdepan cabaran besar ketika memohon pinjaman bank sebanyak RM500,000.
Tanpa cagaran dan hanya memiliki sebuah rumah yang juga masih berhutang, pengurus bank meragui kemampuannya.
Namun berbekalkan pengalaman bekerja di bank, beliau menyediakan laporan aliran tunai dan unjuran kewangan lima tahun.
Semua dokumen lengkap dihantar meskipun dirinya tidak dianggap layak menjadi penjamin.
Beberapa hari kemudian, sekitar jam 10 malam, beliau menerima panggilan mengejutkan pinjamannya diluluskan.
“Saya sangka dapat RM200,000 pun sudah memadai untuk mula berniaga. Tapi yang diluluskan bukan RM200,000 atau RM500,000… sebaliknya RM1 juta.”
Sokongan yang tak disangka
Kelulusan itu datang daripada Tan Sri Azman, tokoh perbankan tersohor ketika itu.
Apabila diberitahu bahawa pemohon pinjaman ialah bekas Pengurus Cawangan Kuching yang kini mahu membuka perniagaan sendiri, Tan Sri hanya berkata ringkas:
“Saya ingat dia.”
Kata-kata itu menjadi bukti bahawa integriti, pengalaman, serta keyakinan diri mampu membuka pintu rezeki yang lebih luas daripada yang dijangka.
Baca juga: Perkongsian pemuda buat ‘side income’ dengan cara sewa atas sewa cetus perdebatan