Seorang pemuda menjadi perhatian di media sosial selepas berkongsi cara dia menjana pendapatan sampingan, iaitu dengan menyewa sebuah rumah dan kemudiannya menyewakan bilik-bilik yang ada kepada orang lain.
Menerusi hantaran dalam kumpulan Tips Kewangan, pengguna itu berkata, dia pada awalnya menyewa sebuah rumah selepas setahun bekerja.
Dia kemudiannya menyewakan bilik-bilik yang ada di dalam rumah berkenaan kepada penyewa lain.
“Salah satu pendapatan sampingan aku. Mula-mula kerja setahun, sewa bilik. Selepas itu aku sewa sebiji rumah dan sewakan pula bilik bilik kepada orang lain. Itu kita panggil sublet (penyewaan semula).
“Aku jadi ketua rumah, urus semua bil dan utiliti. Hasilnya, aku duduk percuma. Siap dapat duit tepi lagi. Duduk KL memang kena keras, dik,” tulisnya.
Hantaran itu mencetuskan reaksi bercampur-baur dalam kalangan netizen. Ada yang memuji idea tersebut sebagai langkah bijak mengurus kewangan, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur yang mempunyai kos sara hidup tinggi.
Namun, tidak kurang juga yang mempersoalkan etika dan kesahan amalan sublet tanpa kebenaran pemilik rumah, selain berpendapat ia tidak amanah kerana pemilik rumah tidak mengetahui bahawa rumah sewanya telah disewakan secara “sewa atas sewa”.