Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida kembali mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman tidak menyenangkan ketika menaiki beca untuk bersiar-siar di Kota London, baru-baru ini.
Merasakan dirinya telah ditipu, usahawan berkenaan turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana dikenakan caj yang terlalu tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit hanya untuk menaiki beca.
Lebih mengecewakan, ahli perniagaan berusia 52 tahun itu didakwa dibawa bersiar-siar kurang daripada tempoh telah yang dijanjikan oleh penarik beca sebelum ini iaitu 10 hingga 15 minit.
Situasi itu juga memaksa Vida atau sebenarnya, Hasmiza Othman untuk mengakui dirinya adalah seorang pelajar bagi memperoleh diskaun sebanyak £200 Pound Sterling (sekitar RM1,131.09) dari caj asal £235 (kira-kira RM1,329.04).
“Dia tipu saya dengan mengenakan caj sebanyak RM1,300 untuk pusing kota London tidak sampai 10 minit. Main letak sahaja harga. Tak akan harga sampai macam itu. Bukan pucat, terkejut dengar.
“Tetapi apabila kata saya pelajar di sini, dapatlah diskaun jadi 200 Pound Sterling. Patut ramai orang tengok sahaja. Tak sampai 15 minit dia pusing. Tak pasal-pasal. Siapa yang datang London nak naik beca itu, beringatlah.
“Sekali pusing tak sampai 10 minit RM1,300 kena. Memang tak puas hati dikenakan caj sebegitu, kalau setakat RM200 tahanlah juga. Selepas ini sebelum naik, kena tanya harga dulu,” katanya dalam satu perkongsian.
Perkongsian tersebut dibuat oleh usahawan yang mesra dikenali sebagai DSV itu menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun TikTok miliknya dengan kapsyen ‘Hati Hati siapa nak datang London’.
Dalam perkongsian sama, Vida mengakui sememangnya tidak menyangka bakal dikenakan caj yang tinggi namun sudah mula merasa ada sesuatu tidak kena apabila ramai orang sekeliling memerhatikannya.
“Sebelum saya naik itu, masih gembira lagi nak pusing-pusing Kota London. Tetapi selepas itu, saya mulalah rasa pelik sebab semua orang pandang semasa menaiki beca. Patutlah tiada siapa naik rupanya caj dikenakan tinggi.” Kesalnya.
Baca juga: Sudah buat IVF tapi tidak berjaya, tiada anak tak patahkan semangat Hazama