Debat isu Sapura Energy: Tarikh dibayangkan Isham, Najib belum dipersetujui – Fahmi Fadzil

Oleh ARIF ATAN

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyindir Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ‘cerita penuh’ tentang debat isu kewangan Sapura Energy Berhad (SEB) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menafikan dakwaan Najib dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil kononnya Anwar sudah bersetuju untuk mengadakan debat itu selepas Aidilfitri.

“Nak cerita penuh? Jom cerita penuh.

“Isham Jalil dan DS Najib Razak kata kononnya DS Anwar Ibrahim sudah setuju tarikh lepas Raya. Mana ada, kita belum setuju pun.

“Semua masih dalam perbincangan dan belum diputuskan,” kata Fahmi sebagai reaksi terhadap kenyataan Najib pagi tadi yang “langsung tak takut” untuk berdebat dengan Anwar.

“Lalu, geng PKR dan Anwar pula tuduh saya yang cabar debat bulan Ramadan padahal yang mula cabar ialah geng kamu Rafizi dan geng kamu Fahmi juga yang kata masa paling sesuai debat ialah selepas Ramadan dari segi pengaturan masa, slot masa TV dan demi menghormati bulan Ramadan.

“Yang cabar, korang. Yang sahut, Najib. Yang bersetuju lepas puasa, korang. Yang tuduh kononnya Najib tak berani, korang juga? Saya langsung tak takut,” tegas Najib.

Fahmi Fadzil

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan dalam pertemuan pertama bersama Isham pada 8 April lalu, beliau menyampaikan hasrat Anwar agar debat Sapura Energy diadakan dalam bulan Ramadan.

“Isham sampaikan pandangan bulan Ramadan tak sesuai atas pelbagai alasan, dan cadang selepas Raya.

“Saya terima pandangan beliau dan kami bincang beberapa tarikh untuk dirujuk kepada pimpinan masing-masing.

“Kami bincang beberapa perkara lain termasuk media mana, tempat mana, jam berapa, siapa hos, berapa ramai yang boleh hadir, sekuriti macam mana dan banyak lagi.

“Malah, Isham cadang bukan format debat, tapi “wacana”! (Ingatkan DS Najib yang nak sangat debat…??)

“Apa pun, kami setuju untuk jumpa semula 13 April (semalam) untuk perbincangan lanjut selepas mendapat pandangan pimpinan masing-masing,” katanya.

Seterusnya, Fahmi berkata, dalam pertemuan jam 4 petang semalam, beliau mengulang pendirian Anwar supaya debat diadakan secepat mungkin dalam bulan Ramadan.

Namun, katanya, Isham yang hadir bersama dua individu lain tetap dengan pandangan bahawa masa yang sesuai untuk program tersebut ialah selepas Aidilfitri.

“Beberapa tarikh khusus dibincang tapi belum dimuktamad.

“Kami juga bersetuju pemakluman debat akan dibuat secara bersama dalam satu sidang media hujung minggu ini.

“Jadi, sebarang tarikh yang dibayangkan Isham atau DS Najib itu belum dipersetujui atau disahkan.

“Bukan fait accompli (ketentuan yang dipaksa terima). Kita ikutlah proses,” tegas Fahmi yang akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.

Dalam masa sama, Fahmi turut menyindir kemungkinan pentadbir halaman Facebook Najib adalah antara dua saksi yang hadir dalam pertemuan semalam.

“Isham ada dua saksi, saya pun ada dua saksi.

“Tapi saya tak tahulah kalau admin FB berbayar DS Najib antara dua saksi semalam. haha.

“Jadi, kita tunggu pengumuman rasmi bersama hujung minggu ini. Nak rock? Let’s rock,” tambah Fahmi yang dilihat sekali lagi menyindir Najib.

Pada 4 April lalu, Najib ada menulis, “Let’s rock!” sebagai respons bersetuju untuk berdebat dengan Anwar mengenai usaha menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy.

Najib memberitahu sudah meminta pasukan Anwar dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengaturkan dengan media jika berhasrat menyiarkannya secara langsung.

Baca ‘Sikit pun hamba tak takut’ – Anwar sedia sahut cabaran Najib berdebat isu Sapura

Baca Tiga sebab kenapa kulit muka lelaki lebih cantik berbanding wanita