Satu rakaman memaparkan sesi latihan perbarisan untuk sambutan Hari Kebangsaan Kebangsaan 2025 melibatkan pasukan pancaragam telah berjaya mencuri tumpuan orang ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, rakaman yang dikongsikan oleh seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi satu hantaran di platform TikTok itu diambil dalam jarak terlalu dekat sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.
Dalam rakaman yang berdurasi 45 saat tersebut, anggota tentera darat dipercayai daripada pasukan Pancaragam Kor Armor Diraja (KAD) itu dilihat sedang memainkan salah satu peralatan muzik tiup bersaiz besar.
Anggota tentera berkenaan tidak menyatakan peralatan muzik dimainkan dalam video tersebut namun tinjauan kami mendapati instrumen yang digunakan adalah sama ada Helicon ataupun Sousaphone.

“Perbarisan pagi. Pom! Pom!” Tulis anggota pancaragam itu dengan ringkas di ruangan kapsyen hantaran tersebut bersama beberapa tanda pagar termasuklah #tanggal31, #merdeka dan #pancaragam.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut telah berjaya meraih sebanyak 267,100 tontonan dan 8,804 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya tampil meninggalkan komen mencuit hati.
Ramai pengguna berkongsi perasaan tidak selesa namun secara berseloroh berikutan video itu diambil dalam jarak terlalu dekat yang mana hanya wajah anggota berkenaan boleh dilihat dalam rakaman tersebut.
Beberapa individu turut mengakui bahawa mereka mulanya menyangka pemuda terbabit sedang berada di bawah lori kerana bentuk peralatan muzik itu menyerupai ekzos kenderaan berkenaan.
“Abang jangan dekat sangat, jauh sedikit. Tak selesalah,” komen seorang pengguna secara berseloroh menegur sudut pengambilan video yang disifatkan terlalu rapat dengan wajah perakam.
“Kalau tak tiup alat muzik itu, taubat aku ingat abang ini tengah duduk dekat bawah lori pada bahagian ekzos itu.” Kongsi pengguna lain yang turut meninggalkan komen menggelikan hati berhubung rakaman tersebut.
Menerusi ruangan komen sama, anggota tentera terbabit turut menjawab persoalan salah seorang netizen dengan memberikan penjelasan mengenai kaedah penggunaan peralatan muzik bersaiz besar itu.
Hal ini berikutan mereka merasa keliru dan tertanya-tanya sama ada pemain muzik perlu meniup atau sedut mahupun hembus untuk mengeluarkan bunyi merdu daripada instrumen berkenaan.
“Perlu lakukan tiga perkara dalam satu masa. Tiup untuk mengeluarkan bunyi, sedut nafas untuk tiup peralatan itu dan mata juga terus berhubung ke otak sambil melihat not muzik,” jelas anggota pancaragam itu.
Sekadar info, tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini adalah Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat di semua peringkat.
Inisiatif dibuat mengikut prinsip-prinsip Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan seimbang dari segi ekonomi, rohani, tadbir urus berintegriti dan perpaduan masyarakat serta memastikan tiada rakyat terpinggir.
Baca juga: Budak sekolah hanya ada RM1 dalam tangan, respon peniaga tauhu bergedel undang sebak