Khabar angin mengenai penyertaan bekas tonggak Harimau Malaya, Baddrol Bakhtiar dalam arena politik nampaknya kian berhembus kencang.
Mana tidaknya, Baddrol yang juga bekas Ketua Pasukan Sabah FC itu memutuskan untuk mengundurkan diri daripada kelab bola sepak tersebut.
Tidak lagi meneruskan karier bersama skuad The Rhinos, Baddrol didakwa bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Baddrol yang berasal dari Kedah itu dikhabarkan akan bertanding di Parlimen Sungai Petani dengan menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN).
Akhirnya menjawab spekulasi, Baddrol Bakhtiar tidak menyangkal dakwaan bahawa dirinya bakal terjun ke arena politik tidak lama lagi.
Tidak terburu-buru, Baddrol bagaimanapun hanya akan mengesahkan khabar angin yang kian berhembus kencang itu pada dua minggu akan datang.
“Saya akan beri jawapan dua minggu lagi. Masa ini saya tiada apa-apa yang dikomen,” jawab bekas pemain kebangsaan itu memetik Kosmo!.
Belum ada pengumuman rasmi, pencalonan Baddrol sebagai wakil parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu didedahkan oleh sumber dalaman PN.
Menurut sumber tersebut, pemain yang berusia 35 tahun itu dijangka bakal mewakili PN sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menjadi pertaruhan parti PN, antara DUN yang dikaitkan dengan Baddrol adalah kawasan Pantai Merdeka, Bakar Arang dan Sidam.
Baca juga: Nak cuba donat peach viral? Ikuti tips ini untuk dapatkan buah yang manis dan ‘juicy’