Selebriti sensasi, Azwan Ali akhirnya menjelaskan perkara sebenar di sebalik rakaman memaparkan dirinya memijak beg keluaran usahawan kontroversi iaitu Datuk Seri Aliff Syukri selepas sebulan kejadian tersebut berlaku.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform X, personaliti yang lebih mesra dikenali sebagai Diva AA itu mendakwa bahawa rakaman tersebut hanyalah sebahagian daripada ‘deal’ dipersetujuinya bersama usahawan terbabit.
Azwan Ali turut memuat naik tangkap layar memaparkan perbualan melibatkan dirinya dengan pembantu peribadi Aliff Syukri yang mana individu terbabit memberikan idea atau ‘jalan cerita’ dalam video berkenaan.
Berdasarkan tangkap layar tersebut, dapat dilihat bahawa Azwan diminta untuk mengkritik rekaan beg berkenaan sebelum memijak dan meludah produk baharu itu sambil memberikan kata-kata kesat.
Pengacara itu juga diminta untuk merakam video kedua memperlihatkan dirinya mengetawakan usaha usahawan terbabit untuk meraih pencapaian yang akan dicatatkan dalam Malaysian Book Of Record.
“Pesanan di aplikasi Whatsapp daripada PA (pembantu peribadi) Aliff Syukri! Diva AA dedah perjanjian sebenarnya dengan jutawan tersi*l Aliff Syukri. Gitu, puihhh,” jelasnya dalam perkongsian tersebut.

Terdahulu, Aliff Syukri yang juga bergelar pempengaruh itu meluahkan rasa kesal atas tindakan Azwan Ali memijak beg keluaran jenamanya dengan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai perkara tidak wajar.
Usahawan berusia 38 tahun itu juga berharap agar Azwan Ali bersemuka sahaja dengannya jika memiliki sebarang ketidakpuasan hati selain menafikan bahawa isu tersebut hanyalah gimik untuk mempromosikan produknya.
Namun pemilik nama sebenar Aliff Syukri Kamarzaman itu enggan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Azwan Ali kerana merasa simpati ekoran pengacara terbabit mungkin tidak memiliki wang.