Dulu jutawan gaji ratus ribu, kini tinggal di rumah flat jadi penerima zakat

Oleh KIM SYAZIE

Seorang individu berkongsi kisah benar mengenai seorang bekas jutawan yang kini menjadi penerima zakat setelah diuji dengan masalah kesihatan yang serius.

Menurut cerita yang dikongsikan, bekas jutawan itu pernah meraih pendapatan bulanan antara RM40,000 hingga RM100,000 dan menjalani kehidupan mewah di banglo dengan kereta mewah seperti Rolls Royce.

Namun, segala kemewahan itu lenyap apabila dia jatuh sakit dan terpaksa terlantar di katil dalam tempoh yang lama.

“Jutawan jatuh bankrap. Dari tinggal rumah banglo, ada Rolls Royce, sekarang tinggal dekat rumah flat. Jadi penerima zakat.

“Aku jumpa orang ini di NGO. Satu bulan pendapatan RM40,000 hingga RM100,000 ke atas. Allah uji dia satu benda je. Kesihatan,” kongsinya.

Kata individu itu, disebabkan sakit yang berpanjangan, perniagaan jutawan itu gagal diteruskan, menyebabkan beberapa asetnya terpaksa dilelong termasuk rumah.

Lebih menyedihkan, anak-anaknya sendiri sukar menerima takdir tersebut.

“Dia jatuh sakit sampai terlentang. Bedridden lama. Perniagaan tak jalan, komitmen tinggi. Rumah kena lelong, kereta-kereta kena sita.

“Dan dia mampu duduk rumah flat je sekarang. Nak bayar bil elektrik pun ada tunggakan. Anak-anak susah nak terima takdir,” tambahnya lagi.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai pengguna dengan ada yang berkongsi cerita sama, mengenali beberapa rakan dalam dunia bisnes yang senasib, terutama apabila disahkan menghidap penyakit seperti kanser dan strok.

Ada juga yang berkongsi pesanan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) bahawa kesenangan sebenar adalah apabila tubuh badan sihat dan mampu bergerak.

“Kalau kaya tapi sakit, tak boleh makan itu ini, nak ke surau pun dah susah. Itu bukan senang, itu dah susah,” katanya

Baca juga: Google Street View didapati cuai rakam gambar bogel, lelaki menang pampasan hampir RM60k