“Dulu pergi surau seorang diri, sekarang dah berteman” – Warga emas teruja jumpa jodoh semula

Oleh MAISARAH AISYA

Benarlah jodoh itu rahsia Allah SWT, siapa menyangka di saat usia sudah hampir menjengah 80 tahun, wanita ini berjumpa teman hidupnya.

42 tahun bergelar ibu tunggal, wanita dengan 46 cucu dan 15 cicit ini akhirnya terbuka hati untuk berkahwin dengan pasangan selepas sebulan perkenalan.

Memetik Astro Awani, Rohani Mohd Kassim berusia 78 tahun akhirnya bergelar isteri kepada Yusup Embi.

Wanita tersebut sejujurnya tidak menyangka dia akan berkahwin lagi selepas kematian suaminya.

“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin semula. Lama bersendiri membesarkan lapan anak.

“Kami diperkenalkan oleh kawan anak. Pertemuan pertama kami, dia pandang saya dia dah berkenan.

Pada awalnya saya belum mahu lagi, tetapi siapa kita untuk menolak ketetapan Ilahi. Alhamdulillah akhirnya hari ini kami disatukan sebagai suami isteri,” katanya seperti dipetik Astro AWANI.

Ada teman beribadah

Tambahnya, sebagai seorang ng aktif beraktiviti di masjid berhampiran kediamannya di Cheras, dia bersyukur kerana selepas ini memiliki teman untuk ke masjid bersama.

“Perjuangan kami sama. Mahu banyakkan beribadah pada hujung usia di masjid. Kalau sebelum ini ke masjid atau surau seorang, lepas ni dah ada teman.

“Faktor ini menguatkan lagi kenapa saya memilih dia sebagai suami. Doakan kami bahagia sampai ke Syurga. Insya-Allah,” katanya.

Rohani memiliki lapan orang cahaya mata, 46 cucu dan 15 cicit hasil perkahwinan pertama bersama Allahyarham Hamid Lomak.

Baca juga: Pakai baju sejuk masa hari panas, David Teo dedah teruk disihir, rupanya angkara keluarga terdekat