Dulu semua berebut tanam Musang King, sekarang harga durian jatuh mendadak…kenapa?

Oleh KIM SYAZIE

Kenapa durian sekarang murah? Jawapannya bukan sebab orang dah tak suka makan durian. Jawapannya sebab 10 tahun lepas terlalu ramai orang percaya durian boleh buat mereka kaya. 

Sekarang ini semua pokok yang ditanam ketika itu mula mengeluarkan hasil. Sekitar 2015 dan 2016, Musang King mula menjadi kegilaan. 

Permintaan meningkat, harga pun semakin mahal. Ramai melihat durian bukan sekadar buah tetapi peluang perniagaan.

Semakin ramai pekebun mula menanam Musang King, tanah getah ditukarkan kepada durian, tanah sawit ditukarkan kepada durian. 

Malah ada yang membeli tanah semata-mata untuk menanam durian premium. 

Dalam dunia kewangan, keadaan ini dipanggil FOMO. Fear of Missing Out. 

Apabila ramai nampak orang lain buat duit, mereka juga mahu masuk ke gelanggang sama.

Perkara sama pernah berlaku dalam saham. Perkara sama pernah berlaku dalam kripto.

Dan ketika itu, ia bermula dengan industri durian. Tapi ada satu masalah. Pokok durian mengambil masa bertahun sebelum berbuah.

Jadi ketika semua orang menanam durian sekitar tahun 2015 dan 2016, kesannya belum kelihatan.

Namun kesannya selepas 10 tahun berlaku, pokok-pokok ini mula matang dan hasilnya mula keluar hampir serentak.

Apa yang berlaku selepas itu? Bekalan durian meningkat mendadak. Terlalu banyak durian masuk pasaran pada masa yang sama.

Apabila bekalan lebih besar daripada permintaan, harga mula jatuh. Dan itulah yang sedang berlaku pada tahun 2026. 

Apa yang berlaku hari ini adalah satu pelajaran tentang pasaran. Apabila sesuatu industri nampak terlalu menguntungkan, semakin ramai orang akan masuk. 

Dan apabila terlalu ramai masuk, keuntungan luar biasa itu akhirnya akan hilang kerana dalam apa jua pelaburan sama ada saham, kripto, hartanah atau pun durian, bila semua percaya ia adalah cara paling mudah untuk menjadi kaya, biasanya peluang itu sudah hampir berakhir 

Kredit info Intraday.my

Baca juga: “Acik dah masuk 50 tahun dik…” – Respons spontan Siti Nurhaliza buat netizen terhibur