Perkahwinan tak direstui berpuluh tahun lalu bersama pelakon dan pelawak, Allahyarham Amran Aman Ramli menyebabkan Anas Salmee Syed Mohamad terpaksa berhijrah jauh daripada keluarga.
Disebabkan penghijrahan pada tahun 1992, Salmee terpaksa meninggalkan barang kemas yang sehingga kini masih belum dipulangkan ahli keluarga sendiri.
Memetik Harian Metro, dia dibuang darah daging sendiri kerana berkahwin tanpa restu dan kini mahu menuntut semula kerugian barang kemas miliknya yang sudah tiada.
“Ketika saya berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1992, saya ada meninggalkan beberapa barang kemas pemberian bekas suami pertama saya.
“Namun setiap kali saya bertanyakan mengenai status barang kemas saya itu, keluarga maklumkan barang kemas itu sudah tiada sedangkan barang kemas itu berada dalam simpanan ibu saya ketika itu.
“Perkara itu dibuktikan oleh kakak sulung saya yang mendedahkan dia pernah memakai barang kemas saya sebelum ini, tapi ibu saya tidak mengizinkan kakak saya menceritakan hal itu dan memulangkan kepada saya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
31 tahun ditindas keluarga
Tidak mahu diri terus difitnah, Salmee akhirnya membuat pendedahan bahawa dia berkahwin bukan atas desakan orang namun kerana masalah di kampung.
“Sebagai anak yang ditindas dan dizalimi selama hampir 31 tahun, saya rasa terpanggil untuk memperbetulkan segala fitnah dan cerita tidak betul mengenai kehidupan peribadi saya.
“Benar perkahwinan saya dengan arwah Amran tidak mendapat restu keluarga tapi perkahwinan saya itu bukan atas desakan sesiapa tetapi pilihan saya sendiri kerana saya sering bercerita masalah saya di kampung kepadanya selama ini sehingga saya nekad ke Kuala Lumpur pada tahun 1992,” katanya.
Buat laporan polis
Tambahnya, satu laporan polis juga sudah di buat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 22 Februari lalu bagi menuntut ganti rugi.
“Saya sudah berunding cara baik tapi tiada jalan penyelesaian. Saya harap ibu saya terbuka hati untuk membayar semula hak kepunyaan saya. Lagipun barang kemas itu adalah pemberian bekas suami pertama saya.
“Saya nak ganti rugi ini bukan sebab saya sedang berdepan kesempitan hidup tapi ini adalah hak dan harta saya.
“Sekiranya perkara ini masih berlarutan saya tidak teragak-agak untuk meneruskan kes ini di pengadilan,” tambahnya.
Baca juga: Tak sangka David Teo pun kena buatan orang, badan panas lepas santau berlaga dengan saka!