Tak sangka David Teo pun kena buatan orang, badan panas lepas santau berlaga dengan saka!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemilik syarikat produksi MIG, Mejar (K) Datuk David Teo kembali mencuri perhatian baru-baru ini selepas mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa sihir.

David Teo yang juga merupakan seorang penerbit itu mendakwa, keadaan menjadi bertambah ‘panas’ apabila sihir tersebut bertembung pula dengan saka keluarganya.

Menurut David, perkara tersebut hanya disedari selepas merasa tidak sedap badan sebaik sahaja pulang daripada menghadiri majlis pengebumian mendiang bapanya.

Turut mengalami kesukaran untuk melelapkan mata akibat pening kepala, David akui sudah mendapatkan rawatan di hospital namun ubat diberi tidak memberikan kesan.

Bukan itu sahaja, penerbit tersebut turut merasa seolah-olah dikawal oleh makhluk halus apabila mampu ‘menelan’ lapan biji telur separuh masak dalam satu masa.

Perkara tersebut didedahkan ahli perniagaan berusia 60 tahun itu menerusi satu sesi temu bual bersama Melodi yang dirakam sebelum dimuat naik di platform TikTok.

“Saya kena santau sekali dengan saka. Realitinya memang berlaku kepada saya sejak bapa meninggal dunia. Mula-mula memang tak tahu. Selepas upacara pengebumian, kami pulang ke Kuala Lumpur.

“Rasa pening-pening dan tekanan darah tinggi. Makan ubat hospital tak berkesan. Masih pening dan tak boleh tidur. Selera makan juga meningkat. Saya tak suka makan telur. Tetapi waktu itu, boleh makan lapan biji telur separuh masak. 

“Otak sudah ‘blur’ seolah-oleh dikawal oleh benda halus. Bayangkan pukul 11 makan, pukul 1 sudah lapar semula. Saya juga tak boleh menjalankan perniagaan seperti biasa,” dedah David.

Keadaannya bagaimanapun beransur pulih selepas salah seorang pekerja memberi cadangan kepadanya untuk mendapatkan rawatan dari pengamal perubatan Islam.

Individu yang bergelar ustaz itu mendakwa bahawa David berkemungkinan berdepan dengan kematian sekiranya lambat bertindak dan tidak berubat dengan segera.

“Selepas beberapa jam dirawat oleh ustaz tersebut, saya kembali pulih. Cuma saya masih lagi dipantau oleh ustaz berkenaan kerana terdapat lagi gangguan dari perbuatan (santau) tersebut.

“Berdasarkan gambaran diberikan oleh ustaz, saya dapat merasakan bahawa individu yang ‘menghantar’ santau tersebut sebenarnya adalah keluarga terdekat.” Ulas David lagi.

Baca juga: Amar Asyraf tak akan berlakon lagi, serik dibayangi serba salah kerana bersentuhan pelakon wanita