Isteri kepada pelawak sensasi, Shuk Sahar iaitu Fara Salleh meluahkan rasa syukur apabila pihak Mahkamah Rendah Syariah Segamat, Johor mengesahkan status pernikahan dilangsungkan bersama suaminya di Thailand adalah sah.
Khabar tersebut dikongsikan oleh wanita berusia 33 tahun itu menerusi satu perkongsian dimuat naik di Instagram Story selepas memperoleh pengesahan pernikahannya daripada mahkamah pada pagi Rabu.
Menerusi hantaran tersebut, Fara turut berkongsi gambar memaparkan dirinya mengenakan tudung berona hitam dan sedang tersenyum mungkin memberikan bayangan bahawa dia berada dalam keadaan tenang.
Fara dalam hantaran sama turut memaklumkan bahawa fokus seterusnya kini adalah untuk menyelesaikan proses pengesahan penceraian terhadap suaminya atau pemilik nama sebenar Mohamad Shukri Mohamed Sahar itu.
“Alhamdulillah, perkahwinan sah. Bertahan sedikit lagi, Nada (anaknya bersama Shuk). Selepas ini nak selesaikan urusan perceraian pula. Yeay,” katanya yang terdengar semangat menerusi Instagram Story.
Terdahulu, Shuk Sahar dan Fara Salleh melangsungkan pernikahan di Thailand pada November 2023 dan mereka berdua dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Elaine Nada pada 26 Jun lalu.
Namun Shuk dikatakan tidak pernah membuat sebarang pendaftaran berhubung pernikahan yang dilakukan di luar negara tersebut malah didakwa menyembunyikan dokumen berkaitan perkara itu daripada isterinya.
Kemudian pada April lalu, pelawak berusia 39 tahun itu bertindak melafazkan talak melalui panggilan telefon selepas mendapatkan khidmat ejen dari Pejabat Agama Satun, Thailand untuk menguruskan proses lafaz cerai.
Tindakan tersebut dibuat tanpa melakukan perbincangan dengan Fara mendorong wanita terbabit meluahkan rasa kesal di platform media sosial dengan mempersoalkan sikap suaminya yang melepaskan tanggungjawab.
Pelawak itu juga membiarkan Fara melahirkan anak perempuan sulung mereka seorang diri selain tidak bersua muka mahupun menghubungi isterinya untuk bertanya khabar.
Sekadar info, Shuk juga mempunyai dua anak perempuan iaitu Nur Qurratu Ain dan Nur Assyifatu Aimi melalui perkahwinan pertama dengan Rossa Sera sebelum bercerai pada 22 Mac 2023.
Baca juga: Ibu terkejut anak perempuan dapat mesej tak senonoh, mohon pemain ‘game’ jaga adab