Fasha Sandha jumpa Sajat di Singapura, minta doakan yang terbaik – “Kita tak layak hukum..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Fasha Sandha kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik perkongsian gambar bersama personaliti kontroversi iaitu Nur Sajat di akaun Instagram miliknya.

Difahamkan, mereka berdua bertemu di sebuah restoran di Singapura selepas menonton konsert Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang diadakan di negara tersebut pada Sabtu lalu.

Menerusi perkongsian tersebut, Fasha menyifatkan Sajat sebagai individu bertuah kerana namanya disebut di atas pentas oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas terbang jauh dari Australia untuk menyaksikan konsert itu.

Fasha turut menyeru orang ramai mengirimkan doa yang terbaik untuk pemilik nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman itu agar memperoleh kejayaan walau di mana pun dia berada.

“Alhamdulillah, sempat jumpa dengan ‘Supermodel’ Nur Sajat Kamaruz Zaman selepas konsert. Hebatnya Sajat, sampai TokTi pun sebut nama Sajat yang terbang dari Australia di atas pentas.

“Mesti ramai yang rindukan celoteh manja Nur Sajat kan? Marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan Sajat walau di mana dia berada mahupun kerjayanya,” kata pelakon berusia 41 tahun itu dalam perkongsian tersebut.

Isteri kepada pelakon iaitu Aidil Aziz itu turut memberikan peringatan kepada pengikutnya agar tidak terburu-buru dalam menghukum orang lain sebaliknya mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain.

Dalam pertemuan tersebut, satu kejutan sambutan hari jadi turut diadakan di restoran berkenaan untuk meraikan ulang tahun kelahiran Aidil Aziz yang ke-38 pada 26 Julai lalu.

“Kita tidak layak untuk menghukum sebab semua orang ada khilaf masing-masing. Doa yang terbaik sahaja agar perkara baik juga akan terjadi kepada kita semua,” tulis Fasha di ruangan kapsyen hantaran.

Sekadar info, konsert ‘Datuk Seri Siti Nurhaliza – The Next Wave Live in Singapore’ adalah salah satu daripada siri jelajah mega diadakan bersempena sambutan 30 tahun perjalanan penyanyi nombor satu negara itu.

Baca juga: Jualan jeruk melebihi RM9 juta dalam 30 hari, ini bagaimana Aliff Syukri jadi raja TikTok Shop