Fazura tersipu malu, terima sejambak bunga sebab temankan Que Haidar pergi bazar

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan pelakon, Que Haidar menghadiahkan sejambak bunga kepada rakan artis dan usahawan iaitu Nur Fazura telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial, baru-baru ini.

Menerusi satu rakaman dimuat naik di akaun TikTok milik Jakel, pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar itu tampak memasuki premis dengan membawa sejambak bunga berwarna merah jambu.

Que memaklumkan bahawa jambangan bunga mawar berwarna merah jambu itu adalah tanda penghargaan kepada Fazura kerana sudi menerima pelawaannya untuk mengunjungi bazar Ramadan bersamanya.

“Hari itu saya beri (bunga kepada) Fatima (anak Fazura) kan? Ini (bunga) awak punya. Terima kasih sebab nak pergi bazar Ramadan dengan saya,” kata pelakon berusia 46 tahun itu dalam rakaman tersebut.

Fazura tersipu malu dengan tindakan Que Haidar menghadiahkan bunga.

Berdasarkan video yang berdurasi satu minit 25 saat itu, kelihatan Fazura tidak dapat menyembunyikan perasaan malu dan terharunya sehingga menutup mukanya ketika mula berhadapan dengan Que.

Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin itu juga tidak menyangka Que sanggup memberikan kejutan dengan menghadiahkan sejambak bunga semata-mata untuk berterima kasih kerana menerima pelawaannya.

“Kamu semua (perakam) janganlah (terus merakam), merah muka saya. Sebab nak pergi bazar Ramadan sahaja, awak beri saya bunga sebesar ini? Terima kasih.” Ujar Fazura yang kelihatan sudah tersipu malu itu.

Difahamkan, rakaman itu dibuat ketika Que dan Fazura bertemu untuk keperluan satu majlis berkaitan dengan jenama pakaian yang diwakili mereka pada musim perayaan Aidilfitri bagi tahun ini.

Terdahulu, Fazura memuat naik gambar anaknya iaitu Nur Fatima Aisya bersama sejambak bunga kait menerusi hantaran di Instagram Story dan mengucapkan terima kasih kepada Que Haidar atas pemberian tersebut.

Baca juga: Netizen minta tips wajah Fazura kurang kedutan, tuan badan bongkar rahsia awet muda