Perkongsian seorang gadis tentang kesukarannya dalam mencari peluang pekerjaan di tempat tinggalnya iaitu di Kelantan telah berjaya menarik perhatian orang ramai termasuklah penduduk tempatan.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun media sosial Threads miliknya, gadis terbabit mengakui sudah hampir dua bulan menganggur di rumah kerana harus berdepan dengan kesukaran untuk meraih peluang pekerjaan.
Gadis itu turut menjelaskan bahawa keputusannya untuk mencari peluang pekerjaan di salah sebuah negeri Pantai Timur tersebut didorong oleh keinginannya sendiri yang mahu tinggal bersama keluarga.
Namun sayangnya segala usaha yang dilakukan gadis itu termasuk dengan menghadiri sesi temu duga sepertinya tidak berhasil sehingga membuatkan dirinya tertanya-tanya mengenai punca sebenar masalahnya.
“Realiti duduk di Kelantan ini adalah susah nak mam**s untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Kalau diikutkan, saya nak tinggal bersama keluarga di negeri ini. Tetapi sudah dua bulan tanam anggur.
“Sudah pergi banyak sesi temu duga. Namun semuanya tak dapat. Adakah kelayakan yang saya miliki ini melebihi skop pekerjaan. Tetapi saya ada degree sahaja. Mahu gaji biasa dalam RM2,000 macam itu.
“Akan tetapi pekerjaan masih tidak dapat lagi dengan gaji sebanyak itu. Tolonglah Kelantan. Jadilah negeri yang lebih baik,” kata wanita terbabit dalam perkongsian di akaun Threads miliknya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju bahawa peluang pekerjaan sememangnya sukar untuk diperoleh di Kelantan malah gaji diminta gadis terbabit juga diganggap berlebihan.
Ramai juga pengguna Threads juga tampil memberikan cadangan kepada gadis terbabit untuk berpindah di luar Kelantan sahaja bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang setara dengan jumlah gaji dimahukannya.
“Awak rasa kenapa orang kelantan ramai berkeja di Kuala Lumpur atau Selangor? Sebab dari zaman dulu memang tak banyak peluang pekerjaan di Kelantan. Mak ayah saya juga orang kelantan, tetapi dari rezeki besarkan anak di Kuala Lumpur juga. Awak tiada pilihan, kena keluar juga,” kata seorang pengguna.
“Saya sudah bekerja di Kelantan lebih 14 tahun. Sangatlah susah nak ‘demand’ gaji walaupun ada kelulusan degree. Semua majikan swasta akan bayar gaji minimum. Kecuali pekerjaan jurujual yang ramai tak suka tetapi gajinya tidak terbatas. Namun kalau malas, tiada hasil juga. Berbezalah suasana dengan Kuala Lumpur.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: ‘Speechless’ datang mesyuarat PIBG anak, kerja sekolah banyak pun ibu bapa ‘complain’