Gaji RM1.7k mampu bersara dengan simpanan KWSP cecah RM1 juta? Ini penjelasannya

Oleh KIM SYAZIE

Walaupun mempunyai gaji permulaan hanya RM1,700, seseorang pencarum masih boleh bersara selesa dengan wang simpanan persaraan mencecah RM1 juta.

Ketua Jabatan Polisi dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff berkata, bagi memastikan pencarum mencapai sasaran simpanan dana persaraan yang mencukupi, individu itu perlu menyimpan secara konsisten.

Menurutnya, KWSP telah membangunkan simulasi berdasarkan angka yang akan membuat kira-kira untuk pencarum berdasarkan caruman bulanannya.

“Persaraan tidak menakutkan jika kita rancang lebih awal. Kami telah bangunkan simulasi berdasarkan angka. Contohnya, jika seorang pembantu pemasaran yang mula bekerja dengan gaji RM1,700.

“Sekiranya, dia mencarum secara konsisten setiap bulan dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak 3 peratus, dia akan boleh mengumpul RM1 juta (simpanan KWSP).

“Jumlah ini lebih tinggi daripada Simpanan Asas dan Simpanan Mencukupi pada hari ini,” katanya memetik laporan Astro Awani baru-baru ini.

Untuk rekod, KWSP telah menerbitkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan.

Pada masa sama Rangka Kerja RIA merupakan satu dokumen yang mengemas kini tahap simpanan yang disyorkan daripada penanda aras simpanan satu tahap kepada kerangka simpanan tiga tahap.

Tiga tahap berkenaan ialah:

– Simpanan Mencukupi: Ditetapkan berdasarkan amaun Belanjawanku bagi Individu Warga Emas iaitu sebanyak RM2,690 untuk 240 bulan, dibundarkan ke atas kepada RM10,000 terdekat (RM650,000)

– Simpanan Asas: 60% daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM390,000).

– Simpanan Dipertingkat: 2 kali ganda jumlah Simpanan Mencukupi (RM1.3 juta).

Menurut Balqais, Rangka Kerja RIA akan dilancarkan pada Januari 2026, yang mana ia akan membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza.

Baca juga: “Mak aku muda, dia suka berkemban dalam rumah depan laki aku, puas dah nasihat..”