Ini bukanlah kali pertama kasut jenama New Balance menggunakan kulit babi malah sebelum ini juga pernah berlaku kes sama di Malaysia.
Pada tahun 2015, salah sebuah outlet New Balance di Pulau Pinang dikatakan tidak sensitif selepas mempamerkan kasut dengan kulit babi tanpa amaran yang jelas.
Kini New Balance Malaysia membuat keputusan menarik balik dan menghentikan penjualan salah satu kasutnya di Malaysia buat sementara waktu.
Ini selepas mendapat pengesahan bahawa sebahagian kecil kasut itu mengandungi bahan kulit babi.
Menerusi satu kenyataan, syarikat kasut dan pakaian sukan antarabangsa itu berkata pihaknya telah menyiasat secara menyeluruh bahan kasut bernombor model U990TA4.
“Ketepatan dan ketelusan adalah penting kepada pasukan kami di New Balance dan kami memohon maaf kepada mana-mana pelanggan yang menerima maklumat tidak tepat daripada pasukan kami,” ujar kenyataan tersebut.

Syarikat tersebut juga akan bertanggungjawab sepenuhnya disebabkan kelemahan komunikasi dan akan menyediakan penyelesaan buat pelanggan yang terjejas.
Jenama tersebut juga memaklumkan bahawa pelanggan yang telah membeli kasut model U990TA4 dari New Balance Malaysia, Crossover dan ATMOS KL, tidak kira di kedai atau secara atas talian akan mendapat pertukaran produk atau bayaran balik penuh.
Pertukaran produk atau bayaran balik penuh ini berkuat kuasa serta-merta dan sah sehingga tiga bulan.
New Balance Malaysia juga menarik balik dan menghentikan penjualan model kasut itu dan memaklumkan rakan kongsi dan pengedarnya untuk melakukan perkara yang sama.
Baca juga: Impi jenazah diuruskan di dalam masjid, lelaki wafat lepas 24 jam ucap syahadah