Guru terhibur murid bagi hadiah dompet berisi duit dan kad bank ibu

Oleh KIM SYAZIE

Sambutan Hari Guru yang sepatutnya menjadi detik manis penuh penghargaan bertukar menjadi kejutan apabila seorang guru menerima hadiah tidak dijangka daripada seorang muridnya.

Hadiah yang disangkakan sekadar dompet rupa-rupanya berisi wang tunai dan kad bank milik ibu murid terbabit.

Insiden yang berlaku di sebuah sekolah itu tular di media sosial selepas guru berkenaan berkongsi pengalaman lucu tetapi mengejutkan di laman sosial miliknya.

“Dapat hadiah dompet tapi rupanya dompet itu dompet mama dia. Duit, kad pengenalan dan kad bank pun ada sekali,” kongsi guru itu.

Menurutnya, dia terkejut mendapati isi dompet bukan sahaja mengandungi wang tunai yang banyak, tetapi turut mempunyai kad pengenalan dan kad bank atas nama ibu murid berkenaan.

Perkongsian tersebut menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi lucu daripada warganet yang turut berkongsi pengalaman aneh dan kelakar sepanjang bergelar pendidik.

Baca juga: “Lepas lima tahun kahwin baru aku sedar suami tak pernah berubah, kantoi mesej 5 perempuan…”