Anak kepada penyanyi nasyid, Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ehmad Hadie Elfardie rupanya pernah dimasukkan ke sebuah institusi pendidikan ketika masih kecil namun berhadapan dengan pengalaman tidak menyenangkan.
Perkara itu didedahkan Hadie yang kini bergelar bintang rancangan realiti nyanyian, Talk To My Manager (TTMM) menerusi satu sesi siaran langsung dilakukannya baru-baru ini di platform media sosial TikTok.
Dalam siaran langsung tersebut, remaja berusia 17 tahun itu mengakui menjadi mangsa buli di institusi pendidikan tersebut termasuk dipaksa pelajar senior untuk memakan rumput sebelum ditolak ke dalam kolam ikan keli.
Hadie yang juga anak kepada penyanyi dan usahawan, Ina Naim itu turut mendakwa mengalami luka di bahagian kepala selepas rambutnya ditarik dengan kuat oleh salah seorang pelajar di institusi berkenaan.
Difahamkan, Hadie yang merupakan anak sulung itu dihantar ke institusi pendidikan tersebut bersama adiknya, Sallman Elkhoyri iaitu cahaya mata kedua Ina Naim bersama Allahyarham Suhaimi kini berusia 15 tahun.
“Saya kena buli dekat sana. Mereka suruh makan rumput dan baling batu. Paling teruk sekali saya dicampak dalam kolam ikan keli. Ketika kejadian, saya tengah tengok orang memancing. Ada seorang abang (pelajar senior) ini suruh saya makan rumput.
“Katanya kalau tak makan, dia nak tolak saya dalam kolam ikan. Saya larilah tetapi dia dapat tangkap. Kami pula tiada kawan di situ. Ada juga yang tarik (rambut) saya dan luka di kepala,” katanya dalam siaran langsung yang sempat dirakam sebelum dimuat naik semula di platform TikTok.
Remaja terbabit bagaimanapun mampu menarik nafas lega apabila dapat meluahkan ketidakselesaan dialaminya sewaktu bapanya datang melawat bersama ibunya tidak sampai 20 hari dimasukkan ke institusi pendidikan itu.
Mengulas lanjut, Hadie memaklumkan bahawa ibu bapa sebenarnya hanya boleh melawat selepas sebulan anak mereka ditinggalkan namun arwah Suhaimi dikatakan tidak sedap hati dan kurang nyenyak tidur.
“Masa itu arwah ayah saya ada naluri dan rasa tak sedap hati. Mak saya beritahu, ayah dekat rumah pun tidur tak nyenyak sebab risaukan anaknya. Kemudian Ayah dan ibu datang jumpa kami. Sepatutnya kena belajar dahulu dekat situ selama sebulan, baru ibu bapa boleh tengok.
“Ayah saya tanya Sallman sama ada dia baik-baik sahaja atau sebaliknya. Tetapi dia senyap sahaja. Saya sebagai abang, jalankan tanggungjawab. Beritahu ayah saya, sini tak okay. Tetapi saya tak cakaplah kena buli sebab takut kalau mereka (pembuli) tahu.” Kongsinya.
Terdahulu, arwah Suhaimi Saad yang juga bekas anggota kumpulan In-team pernah berkongsikan pendirian dirinya yang tidak mahu mengantar anak ke sekolah sebaliknya mendidik mereka di rumah sahaja atau ‘Homeschooling’.
Sekadar info, Suhaimi dengan Ina Naim mempunyai dua cahaya mata lagi selain Hadie dan Sallman Elkhoyri hasil perkongsian hidup mereka selama 16 tahun iaitu Phyrosh Elfadwah serta Nur Layla Elghufrony.
Pemilik nama sebenar Mohd Suhaimi Saad itu berkahwin dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007 sebelum meninggal dunia pada 15 November 2023 lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Ina kemudian kembali bergelar isteri pada 8 November tahun lalu selepas diijabkabulkan dengan jurutera, Mohd Khairul yang berstatus duda kepada dua cahaya mata setelah berkenalan di media sosial pada sekitar bulan Mei.