Kes Zara Qairina: Beri sedikit masa kepada PDRM selesaikan kerjanya

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta orang ramai bersabar dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Fahmi berkata, beliau tidak mahu penyebaran berita tidak sahih di media sosial menyebabkan murid-murid lain di sekolah berkenaan terkesan.

Beliau memberi jaminan, pihak berkuasa akan mendedahkan punca sebenar apa yang terjadi dalam masa yang tidak terlalu lama.

“Jadi saya rasa dalam masa yang tak terlalu lama, kita akan nampak apakah sebenarnya yang terjadi. Beri sedikit masa, berilah kepercayaan kepada pihak PDRM untuk jalankan siasatan dan kita taknak ada tuduhan terhadap kanak-kanak yang lain.

“Itu jadi satu kesalahan. Saya ingatkan supaya kita bersabar seketika, berikan masa.

“Jangan terlalu mudah kita ikuti dan terlalu cepat kita memutuskan berdasarkan apa yang kita tengok di TikTok dan di media sosial. Belum tentu benda itu sahih,” katanya dalam temu bual bersama Hello Malaysia hari ini.

Beliau meminta semua pihak untuk memberi ruang dan masa yang secukupnya untuk menyiasat insiden tersebut.

Baca juga: Trump dan Xi Jinping akan bertemu di Malaysia, kata Anwar