Masih ada anak-anak yang dilahirkan di Malaysia gagal mendapat kewarganegaraan disebabkan proses yang memakan masa.
Maka tak terkejutlah jika mereka yang sah-sah lahir di luar negara mengakui kesukaran untuk mendapat kewarganegaraan meskipun berpuluh tahun tinggal di negara ini.
Pelakon Josiah Hogan berkongsi bahawa permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia masih belum selesai lapor Harian Metro.
Jelasnya dia perlu menunggu tandatangan Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pelakon berusia 39 tahun itu membuat permohonan kerakyatan dibuat di Putrajaya dan perlu pengesahan daripada kerajaan negeri Selangor yang menjadi tempat bermastautin.
“Permohonan kerakyatan masih dalam proses. Saya dimaklumkan Menteri Besar Selangor perlu tandatangan permohonan itu kerana ia dihantar melalui Putrajaya.
“Saya juga ada mohon surat sokongan daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
“Bukan untuk potong giliran, tapi hanya sebagai sokongan untuk diserahkan sekali bersama dokumen kepada Menteri Besar,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, Josiah memaklumkan bahawa semua dokumen berkaitan sudah lengkap dan dihantar namun perlu menunggu lama disebabkan mengikut giliran.
Malah ibunya juga membuat permohonan kewarganegaraan Malaysia di Kuantan, Pahang dan sudah diluluskan.
“Saya ikut prosedur dan tak potong barisan. Dokumen semua sudah dihantar, sekarang hanya tunggu tandatangan daripada pihak yang sepatutnya,” katanya.
“Emak saya mohon di Kuantan sebab dia menetap di sana. Permohonannya sudah diluluskan dan sekarang hanya tunggu giliran untuk terima kad pengenalan.
“Mungkin lebih cepat sebab jumlah pemohon di sana tak ramai,” katanya.
Josiah dan ibunya berpindah ke Malaysia ketika dia berusia tujuh tahun dan membesar di negara ini sebelum berkahwin dengan pasangan Nurul Hidayu Mohamed Nordin pada Mei 2013.
Baca juga: Bergelut cari wang bukan bererti ‘sangkak’, Aliff Syukri hanya ikut peredaran zaman