Hari-hari dapat hadiah daripada senior, Ayda Jebat sanggup makan dalam tandas sebab takut

Oleh MAISARAH AISYA

Kes buli di sekolah semakin membimbangkan sama ada di sekolah harian mahupun berasrama penuh.

Lebih menyedihkan, ada yang berakhir dengan tragedi, hingga meragut nyawa seperti kes yang terjadi kepada pelajar Zara Qairina.

Terkesan dengan kisah tersebut, pelakon Ayda Jebat berkongsi pengalaman menjadi mangsa seorang senior yang minat akan dirinya hingga dia memilih untuk berhenti sekolah.

Dalam perkongsian di Threads, dia pada mulanya teruja untuk memulakan persekolahan di situ namun rasa gembira itu tidak bertahan lama.

“Dulu masa Tingkatan 1, saya sekolah di sekolah perempuan, ada asrama, tapi sebab saya masuk lambat, jadi asrama dah penuh.

“Jadi, terpaksa ulang-alik dari rumah ke sekolah agak jauh juga, dalam 40 minit perjalanan.

“Mula-mula memang excited dapat masuk sekolah tu sebab ia antara sekolah perempuan terbaik dan “hot” daripada segi akademik dan kokurikulum.

“Pelajar yang masuk pun mostly straight A’s UPSR, paling sikit pun mungkin 4A. Kiranya bijak pandailah ya,” kongsinya di Threads.

Kongsinya lagi, disebabkan sering dipikat oleh kakak-kakak senior hingga dia merasa tak selesa dan menggangu proses pembelajaran, Ayda bertahan tidak sampai setahun.

“Nak dipendekkan cerita, saya sekolah kat situ kurang daripada setahun. Sebab tak tahan! Tak tahan asyik kena ngorat sampai mental tak stabil, nak belajar pun dah tak fokus! Kena ngorat dengan ‘kakak-kakak’ senior.

“Mula-mula ada seorang pengawas yang jaga kelas saya, tua setahun daripada saya. Dia macam ambil berat la, macam kakak-kakak jaga adik. Kita pun layan baik-baik je.

“Sampai satu hari, tiba-tiba hampir setiap hari dia mula letak surat bawah meja, bagi hadiah coklat lah, sepit rambut lah, patung, cincin… eh, nak kahwin dengan aku ke,” kongsinya.

Segalanya berubah selepas dia ditegur senior lain yang memintanya untuk lebih berhati-hati dan ini menyebabkan dirinya terpaksa menyorok sewaktu rehat.

“Lepas tu sekali tu saya pergi tandas, ada seorang kakak senior lain dalam tandas. Dia tanya saya sama ada saya berpasangan (couple) dengan senior tersebut sebab dia kecoh kata saya miluk dia.

“Kakak yang baik tu pesan lagi hati-hati. Saya dah cuba elak pengawas itu hingga satu hari dia kata jaga-jaga. Masa itu saya dah gigil.

“Dia akan tunggu depan kelas setiap waktu rehat! Saya sanggup keluar ke tandas 5 minit awal daripada waktu rehat.

“Saya duduk dalam tandas sekolah, tunggu kawan saya belikan makan, saya makan dalam tandas sekolah sebab takut gila,” ujarnya.

Ayda kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya sebelum membuat keputusan untuk pindah ke sekolah lain.

Baca juga: Kiriman pesanan suara Siti Nurhaliza ‘asbab’ pemuda beri respons positif, sedar dari koma