Kiriman pesanan suara Siti Nurhaliza ‘asbab’ pemuda beri respons positif, sedar dari koma

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka pesanan suara daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza boleh menjadi asbab seorang pemuda tempatan memberi tindak balas positif sebelum tersedar daripada koma.

Bukan cerita rekaan, itulah kejadian sebenar dialami oleh lelaki dikenali sebagai Aimi Nasruddin yang berkongsikan pengalamannya berada dalam keadaan koma selama lima hari di sebuah hospital di Sydney, Australia.

Aimi menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya memberitahu dirinya berada dalam keadaan koma selama lima hari sebelum menunjukkan respons sebaik mendengar kiriman pesanan suara (voice note) tersebut.

Perkara berlaku di atas izin Yang Maha Kuasa dan usaha bapa pemuda itu mendapatkan pesanan suara tersebut mengenangkan anaknya begitu menggemari penyanyi terbabit dalam usaha menyedarkannya.

“Ayah berusaha mencari kenalan yang boleh membantu mendapatkan ‘voice note’ daripada Siti Nurhaliza. Tidak disangka hanya dalam masa satu jam, beliau berjaya mendapatkannya.

“Sebaik mendengar pesanan suara itu, tangan kanan saya mula menunjukkan pergerakan kecil. Doktor menyifatkan pergerakan itu sebagai tindak balas yang positif,” katanya dalam perkongsian itu.

Berdasarkan rakaman yang turut dimuat naik menerusi hantaran itu, pesanan berkenaan didapati mengandungi kata-kata semangat dan nasihat dari Siti Nurhaliza supaya pemuda terbabit memperbanyakkan selawat serta zikir.

Menurut penyanyi yang mesra disapa sebagai TokTi itu, amalan istighfar juga boleh mengurangkan kesakitan dan berharap Aimi tidak berputus asa untuk kembali sedar selain berterima kasih atas sokongannya selama ini.

“Aimi selawat banyak-banyak, istighfar sebab amalan itu boleh mengurangkan rasa sakit. Zikir jangan berhenti. Terus kuat semangat. Aimi jangan putus asa. Terima kasih sebab selama ini terus menyokong Kak Siti.

“Insya-Allah, Aimi boleh mengharungi semua ini,” kata Siti Nurhaliza dalam kiriman pesanan suara yang didengarkan kepada Aimi sewaktu terlantar koma atas katil di hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, Aimi ketika bercerita mengenai kejadian itu memaklumkan bahawa segalanya bermula sewaktu dirinya berkunjung ke Bondi Beach, Sydney pada 9 Julai lalu bersama rakan-rakannya.

Pemuda itu kemudian meminta rakan-rakan meneruskan perjalanan terlebih dahulu kerana mahu berehat seketika sebelum secara tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri di bangku dipercayai akibat serangan jantung.

Dalam pada itu, Aimi yang kini sudah kembali ke tanah air mengucapkan rasa syukur atas pemulihan yang disifatkan sebagai satu keajaiban serta hasil doa berterusan daripada keluarga dan sahabat.

“Saya tengah duduk berehat dan kemudian secara tiba-tiba, jatuh pengsan. Saya didapati tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital St Vincent untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Alhamdulillah, kini saya sudah kembali bekerja dan boleh memandu seperti biasa. Saya menganggap ini sebagai anugerah dan keajaiban daripada Allah SWT.” Kongsi pemuda itu lagi.

Baca juga: “Mungkin esok, lusa saya akan berubah” – Daiyan Trisha terima teguran pakaian seksi