Himpunan #TurunAnwar: Anthony Loke arah KTM dan LRT terus beroperasi esok

Oleh MAISARAH AISYA

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberi jaminan bahawa semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk stesen-stesen keretapi KTMB dan Prasarana akan beroperasi seperti biasa pada Sabtu, 26 Julai 2025.

Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan agar tiada gangguan terhadap operasi pengangkutan awam walaupun ibu kota dijangka menjadi lokasi perhimpunan anjuran pihak pembangkang.

“Kerajaan Madani mempertahankan hak kebebasan berhimpun, termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan Kerajaan.

“Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran perkhidmatan awam supaya majoriti rakyat dapat menjalankan urusan hujung minggu tanpa sebarang gangguan.

Anthony turut menggalakkan orang ramai yang akan ke ibu kota untuk memanfaatkan kemudahan Pas MY50, yang kini boleh diperbaharui secara atas talian melalui aplikasi Touch ‘n Go.

Dengan nilai sebenar RM150, pengguna hanya perlu membayar RM50 manakala selebihnya disubsidi kerajaan.

Bagi pelawat pertama kali ke Kuala Lumpur, beliau mencadangkan penggunaan MyCity Pass, pas harian tanpa had untuk perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas yang berharga RM6 sehari.

Pas ini turut dirancang untuk didigitalkan menjelang hujung tahun ini.

“Saya menggalakkan para peserta perhimpunan esok untuk menggunakan pengangkutan awam supaya kesesakan lalu lintas di ibu kota dapat diminimakan,” tambahnya.

Baca juga: Reformasi Kerajaan Madani: Rakyat diberikan hak untuk berhimpun secara aman