Seorang wanita bergelar ibu berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik perkongsian mendakwa anaknya dikasari oleh seorang guru dalam satu kejadian berlaku di sebuah sekolah rendah.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads itu, wanita terbabit mendakwa anaknya yang berusia 11 tahun pulang ke rumah dari sekolah sebelum mengadu kesakitan di bahagian kepalanya.
Kanak-kanak terbabit kemudian mengaku ditumbuk oleh gurunya ketika sedang menyiapkan kerja sekolah selepas murid itu memarahi rakan sekelasnya kerana memukul kepalanya secara tiba-tiba.
Akibat daripada kejadian itu, kedua-dua murid berkenaan bukan sahaja ditumbuk malah telinga mereka juga turut dipulas sebelum sang guru didakwa mengambil tindakan menghantukkan kepala kanak-kanak terbabit.
“Ketika kejadian, anak saya sedang bersembang dengan kawan. Tidak semena-mena, seorang kawan lain menerpa ke arahnya sebelum tempeleng kepala anak saya. Dengan terkejutnya, anak saya marah kawan dia sambil bertanya, ‘Kenapa kau pukul kepala aku?’.
“Tiba-tiba cikgu yang sedang ‘scroll’ telefonnya itu bangun dan tumbuk kepala anak saya dan kawannya. Tak cukup dengan itu, cikgu turut pulas telinga kedua-duanya dan hantukkan mereka berdua (melagakan kepala). Anak saya menangis.
“Kawannya itu juga menangis dan akibat ketakutan, dia terkencing dalam seluar sekolah. Saya nak hubungi cikgu tersebut untuk tahu cerita daripada kedua belah pihak. Tetapi anak saya melarang. Katanya takut dia menjadi sasaran selepas ini,” kongsinya.
Memandangkan anaknya enggan membesarkan kejadian itu, ibu terbabit merasa keliru dengan tindakan seterusnya yang perlu diambil untuk menangani masalah tersebut sama ada mahu mengambil tindakan atau sebaliknya.
Hal ini kerana wanita itu berpendapat bahawa perbuatan guru terbabit berlebihan walaupun bertujuan untuk mendidik malah kepala anaknya masih sakit ketika perkongsian tersebut dimuat naik di media sosial.
“Kalau tuan puan berada di tempat saya, apa yang anda akan lakukan? Daripada Ummi yang sedang bersedih dan kecewa.” Soal wanita terbabit meminta cadangan daripada orang ramai berhubung masalah itu.

Baca juga: Siti Nurhaliza kongsi detik kahwin dengan Datuk K, akui sudah reda jika kerjaya menjunam