Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf mendakwa dipaksa membuat pengakuan bahawa dirinya telah membunuh anaknya sendiri semasa berada dalam tahanan reman selama 13 hari pada Jun tahun lalu.
Keterangan itu diberikan Ismanira juga saksi pembelaan pertama kes pengabaian kanak-kanak autisme terbabit ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Haresh Mahadevan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.
Wanita berusia 30 tahun itu mendakwa siasatan tersebut dijalankan di sebuah banglo terletak di Petaling Jaya yang dikenali sebagai ‘safe house‘ selepas enam bulan Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia.
Meskipun sudah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan tersebut dijalankan, namun Ismanira mendakwa pihak polis masih tidak berpuas hati dengan keterangan diberikannya ketika itu, lapor Berita Harian.
“Mereka menuduh saya dan mengarang cerita yang perkara saya tidak lakukan. Mereka (polis) mereka cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya lalu saya membunuh anak saya sendiri.
“Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati,” dakwa Ismanira ketika memberikan keterangan dalam prosiding pemeriksaan utama tersebut memetik laporan Berita Harian.
Ismanira turut mendakwa bahawa pihak polis terbahagi kepada dua golongan ketika siasatan dijalankan dengan segelintir daripada mereka turut merasakan simpati terhadap nasib dialaminya.
Manakala selebihnya dikatakan masih tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Ismanira malah terus menekannya terutama mengenai tuduhan didakwa tidak dilakukan wanita terbabit.
“Pihak polis pada masa itu terbahagi kepada dua golongan. Satu golongan bersimpati dan mengatakan yang mereka tahu saya tidak bersalah. Mereka yang bersimpati kepada saya pula meminta saya bersabar.
“Lawan jika perkara itu tidak benar dan bertahan sampai habis reman. Namun, satu lagi golongan polis tidak puas hati dan terus menekan saya dengan tuduhan yang saya tidak buat,” kata wanita itu lagi.
Ketika ditanya mengenai pertuduhan pengabaian yang dikenakan terhadapnya, Ismanira sekali lagi menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengabaikan Zayn Rayyan yang merupakan sulungnya itu sepanjang hayatnya.
Wanita itu juga mengakui hanya berpisah dengan Zayn Rayyan ketika bekerja atau sewaktu kanak-kanak terbabit berada di sekolah sahaja selepas ditanya sama ada dirinya pernah membiarkan anaknya bersendirian.
“Saya tidak mengabaikan Zayn seumur hidup saya dan khususnya pada waktu dan masa dalam pertuduhan itu. Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa. Saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti di dalam pertuduhan.
“Saya benar-benar hilang anak pada hari itu dan bukan saya yang mengabaikannya. Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn sepanjang usia Zayn.
“Saya hanya berpisah dengan Zayn pada waktu bekerja dan waktu Zayn di sekolah sahaja. Saya tidak pernah membiarkan Zayn bersendirian atau mengabaikan,” jelasnya membela diri.
Tedahulu, Ismanira diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada dua tahun lalu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari yang juga bapa kepada kanak-kanak autisme itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes pendakwaan terhadapnya.
Susulan itu, pihak pembelaan mengemukakan seramai lima saksi pembelaan termasuk Ismanira dalam prosiding bela diri yang dijangka bakal berlangsung selama empat hari bermula semalam.
Baca juga: Terkini: Bapa Zayn Rayyan bebas, ibu diperintah mahkamah untuk membela diri