Apabila bergelar selebriti, setiap tindak-tanduk dan perkongsian mereka di media sosial sering menjadi perhatian ramai.
Timbul satu isu selepas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memuat naik gambar usai khatam Al Quran bersama kumpulan tadarus.
Seorang individu dikenali sebagai Haneem menegur berhubung penggunaan mashaf Al-Quran yang didakwa tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa.
Jelas individu berkenaan mashaf yang dilihat dalam gambar berkenaan merupakan mashaf Al-Quran versi romanize yang tidak mempunyai semakan serta kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, sebagai individu yang terlibat dengan bidang berkaitan, dia berasa bertanggungjawab untuk memaklumkan perkara tersebut walaupun bimbang tegurannya disalah tafsir oleh peminat penyanyi berkenaan.
“Dengan berat hati saya mohon maaf terpaksa beritahu mashaf tersebut merupakan mashaf romanize yang tiada semakan dan tiada kelulusan KDN.
“Mungkin Tokti (Siti) kurang jelas berkaitan kepentingan perakuan kelulusan mashaf Al-Quran daripada KDN,” tulisnya.
Menariknya, Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Tokti membalas teguran tersebut dengan nada terbuka dan berterima kasih atas maklumat yang diberikan.
Siti menjelaskan bahawa mashaf berkenaan dibeli secara dalam talian dan merupakan keluaran dari negara jiran.
Kongsinya lagi sesi tadarus yang dilakukannya dipimpin oleh seorang ustaz tahfiz bagi memastikan bacaan dilakukan dengan betul.
“Terima kasih di atas maklumat yang diberikan. Saya beli mashaf keluaran terkini secara online dari negara jiran.
“Saya mengaji tadarus bersama ustaz tahfiz dan setiap bacaan dipimpin dengan teliti. Alhamdulillah, tak ada satu surah pun tertinggal,” balasnya.
Tambahnya lagi, kemungkinan mashaf tersebut tidak mempunyai kelulusan KDN kerana ia diterbitkan di luar negara, namun dia berharap segala amalan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.
“Saya sebenarnya ada beberapa naskah al-Quran daripada malaysia juga.Saya akan ambil perhatian tentang ni ya. Terima kasih ya,” tambahnya.
Respon penyanyi itu turut mendapat pujian daripada netizen yang menyifatkan sikapnya terbuka menerima teguran.
“Saya maklum TokTi mengaji secara bergura cuma risau bila ada yang nak beli mashaf tersebut disebabkan tertarik dengan romanize dan tidak berguru. Tambahan pula TokTi jadi ikutan ramai di luar sana.
“Bagus komen ni, secara tak langsung saya pun terus semak mashaf saya.
“Kan ramai dah berminat dengan mashaf, TokTi tak apa dia ada guru khas. Yang lain tolong ya, beli yang ada kelulusan KDN sahaja,” antara komen penggun Threads.
Baca juga: Jangan langgar syariat, Ustaz Wadi Annuar tegur peniaga pakai baju jantina lain