Pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terpaksa mengambil keputusan drastik dengan mengarahkan 34 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook memaklumkan bahawa langkah tersebut diambil selepas MRSM terlibat merekodkan lebih 50 pelajar bergejala influenza.
Sehubungan dengan itu, Asyraf Wajdi bersama pihak pengurusan bersetuju untuk melaksanakan PdPR tanpa menunggu Pejabat Kesihatan Daerah mengisytiharkan penutupan institusi pendidikan berkenaan.
Kerja-kerja sanitasi atau proses pembersihan juga sudah dilakukan di semua MRSM yang terlibat sebagai langkah pencegahan untuk mengekang penularan dan memutuskan rantaian jangkitan virus influenza.
“Setakat ini, 34 MRSM telah mengadakan PdPR dan membenarkan pelajar pulang ke rumah. Proses sanitasi juga dilakukan di semua MRSM terlibat. Mohon doakan semua pelajar kembali pulih dan penularan virus ini dapat dikekang dan diputuskan,” katanya dalam kenyataan itu.
Asyraf Wajdi sebelum ini memberitahu bahawa seramai 2,724 pelajar MRSM di seluruh negara sudah dikenal pasti terkena jangkitan dan pengetua institusi pendidikan itu diarah mengambil langkah segera dalam memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) KKM mendedahkan bahawa 97 kluster jangkitan Influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster pada minggu sebelumnya.
Majoriti kes itu membabitkan pelajar institusi pendidikan dengan semua negeri melaporkan peningkatan termasuk lima negeri tertinggi iaitu Selangor sebanyak 43 kluster, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5).
Lebih mengejutkan, sebahagian besar daripada kluster jangkitan virus influenza tersebut dilaporkan berlaku di sekolah menengah (32), sekolah rendah (26), tadika (15) dan sekolah swasta (9).
Baca juga: Empat suspek kes rogol tetap duduki SPM 3 November ini