Seorang guru berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila tidak menyangka hadiah Hari Guru yang disimpan hampir seminggu rupa-rupanya mengandungi satu penghargaan bernilai daripada seorang pelajar.
Menerusi perkongsian dimuat naik pengguna Threads, @thetehoriginal, dia mengakui pada awalnya menyangka hadiah yang diterima itu sekadar sekeping kad ucapan biasa kerana disimpan di dalam sampul merah lama menyerupai sampul kedai emas.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sehari selepas sambutan Hari Guru ketika dia sedang bertugas untuk Ujian SEGAK di sekolah.
“Saya nampak satu sarung merah atas meja siap ada nama kedai emas. Mula-mula ingat barang orang tercicir,” katanya.
Namun selepas diperiksa, sampul tersebut mempunyai namanya bersama isteri beserta ucapan Selamat Hari Guru.
Guru berkenaan berkata dia kemudian membuka sampul itu perlahan-lahan tetapi hanya menemui sekeping kad ucapan di dalamnya.
“Saya siap belek (perhati) banyak kali sebab rasa pelik, tapi memang hanya kad ucapan saja,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia mula mengesyaki hadiah itu diberikan oleh seorang pelajar yang memerhatikannya dari jauh selepas terlihat nama pada kad ucapan sama seperti nama pada tag pelajar tersebut.
Menurutnya, pelajar terbabit kemudian mengaku dialah individu yang meninggalkan hadiah berkenaan buat dirinya dan isteri.
Apa yang lebih menyentuh hati, guru itu memaklumkan dia sebenarnya tidak pernah mengajar pelajar tersebut dan mereka juga tidak begitu rapat.
“Dia cuma jawab perlahan, ‘Cikgu dan isteri orang baik. Hadiah ini untuk cikgu,’” katanya.
Selepas pulang ke rumah, hadiah tersebut disimpan di dalam almari kerana menyangka ia sekadar kad ucapan biasa.
Namun beberapa hari kemudian, dia kembali memeriksa sampul merah itu sebelum terkejut apabila menemui seketul mini gold bar tersembunyi di dalamnya.
Menurut guru berkenaan, kejadian itu berlaku dua tahun lalu dan menjadi hadiah terakhir diterimanya sebelum berpindah sekolah.
Baca juga: Bosan dunia glamor, pelakon cantik tukar kerjaya jadi pemungut sampah