Baru-baru ini pesawat Malaysia Airlines MH122 dilaporkan terpaksa berpatah balik selepas digempar dengan ancaman bom semasa dalam penerbangan dari Australia ke Malaysia.
Ia selepas seorang lelaki dikatakan mengancam untuk meletupkan pesawat walaupun dia sebenarnya tidak mempunyai bom dan menyebabkan tindakan berpatah balik terpaksa dilakukan.
Untuk pengetahuan anda, ada beberapa perkataan yang tidak boleh diungkap sepanjang anda berada di dalam pesawat biarpun hanya gurauan sekalipun.
Berdasarkan perkongsian penyanyi Zarul Husin, 50, yang pernah berkhidmat di awan biru selama 17 tahun, ada tiga perkataan yang diharamkan buat penumpang serta petugas penerbangan ketika menaiki pesawat.
Menurut Zarul, tiga perkataan sensitif itu adalah bom, hijack (rampasan) dan apa-apa senjata berbahaya yang boleh dianggap sebagai satu ancaman di dalam kapal terbang tersebut.
“Bom ini perkataan yang diharamkan dalam pesawat atau penerbangan. Jangan sesekali buat main dengan perkataan bom walaupun anda hanya melawak, anda hanya mahu punchline untuk buat lawak.
“Kedua, perkataan saya ada pisau. Aku ada pistol. Aku ada parang pun tak boleh. Ianya sama level juga dengan perkataan bom itu tadi.
“Ketiga ialah hijack (rampasan). Saya nak rampas kapal terbang ni, kerana anda lambat bagi saya nasi lemak. Walaupun anda hanya bergurau, perkara itu pun tidak boleh,” tegas Zarul.
Tambah beliau lagi, penumpang yang didapati berbuat sedemikian boleh dikeluarkan daripada pesawat serta-merta selepas penerbangan berpatah balik semula ke lapangan terbang.
Baca juga: Dakwa masjid dah jadi tempat perlancongan, Kris Dayanti selamba tak tutup aurat