“Mummy rindu Khalish” – Isteri Faisal Halim minta anak bersabar, yakin akan jumpa lagi

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril kembali mencuri tumpuan ramai selepas memuat naik rakaman bersama anak mereka, Khalish Aryan Faisal.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Syazwani menerusi Instagram Story tersebut seakan-akan memberi bayangan bahawa dirinya sudah lama tidak bertemu dengan kanak-kanak lelaki berkenaan.

Menerusi keterangan video berdurasi 17 saat itu, Syazwani meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap anaknya selain berharap mereka berdua akan dipertemukan kembali suatu hari nanti.

“Mummy rindu Khalish, sabar ya sayang. Mummy yakin nanti kita akan jumpa,” tulisnya dalam keterangan video memaparkan dirinya sedang memeluk dan mencium hangat anak tunggalnya itu.

Terdahulu, Nur Syazwani Mizuana dilaporkan memfailkan permohonan penceraian terhadap suaminya iaitu bintang bola sepak Selangor di Mahkamah Rendah Syariah Klang, semalam.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes perceraian itu selepas pihak defendan iaitu Faisal mendedahkan pernah berlaku perceraian di luar mahkamah sebelum ini.

Syazwani menerusi perkongsian luahan hati dimuat naik di Instagram Story sebelum ini menjelaskan bahawa tindakan itu tidak diambil secara terburu-buru malah dirinya juga pernah diceraikan oleh suaminya.

Wanita berkenaan turut mengakui sudah berusaha untuk mempertahankan rumah tangga mereka namun campur tangan yang berlaku dikatakan membuatkannya mengambil keputusan untuk memfailkan penceraian.

“Saya telah berkorban seluruh jiwa untuk keluarga, dari susah sehingga berjaya. Daripada tidak dikenali kepada seseorang yang dipuja, dari sakit sehingga sihat dan kembali ke tahap terbaik. Bukan mudah untuk saya.

“Malah ini bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini. Saya cuba pertahankan tetapi terlalu banyak campur tangan dan onak dalam kehidupan saya. Tindakan saya hari ini bukan satu keputusan yang senang dibuat.

“Saya telah berusaha namun mungkin ini jalan yang terbaik. lbu saya disuruh untuk mengambil saya. Saya telah dipulangkan kepada ibu saya. Walaupun berat hati, saya ikutkan kehendak dia.” Jelasnya dalam hantaran itu.

Perkongsian dimuat naik oleh Syazwani sebelum ini berhubung tindakannya memfailkan penceraian.

Sekadar info, tonggak utama Harimau Malaya itu sudah berumah tangga selama enam tahun dengan Syazwani sejak 9 Mac 2019 lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata bersama iaitu Khalish Aryan.

Baca juga: ‘Industri ini memang tak pernah adil’ – Athalia luah rasa terkilan, sudah cuba perbaiki persembahan