Kecoh di platform media sosial baru-baru ini berhubung tindakan seorang bapa mencipta kandungan melibatkan anaknya dengan menggelarkan kanak-kanak itu sebagai ‘mini wife’ (isteri kecil).
Namun perkara yang lebih menggusarkan orang ramai adalah kanak-kanak itu ‘digayakan’ oleh bapanya seperti wanita dewasa termasuklah dengan mengenakan solekan dan berkasut tinggi walaupun masih bersekolah rendah.
Walaupun sang bapa yang juga bergelar pempengaruh mengakui perkara itu adalah keinginan anaknya namun orang ramai berpendapat bahawa kandungan sedemikian tetap tidak sesuai untuk tontonan umum.
Isu tersebut turut menjadi perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial Indonesia yang berkongsikan rasa bimbang jika kanak-kanak malang itu menjadi mangsa ‘grooming’ atau pengantunan seksual serta pedofilia.
Susulan penularan isu itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri tampil memberikan maklum balas dengan mengatakan bahawa pihaknya memandang serius perkara tersebut.
Nancy menerusi satu kenyataan dimuat naik di platform X menegaskan bahawa tindakan mengeksploitasi kanak-kanak terutama secara atas talian adalah perbuatan tidak wajar walaupun dilakukan oleh ibu bapa mereka sendiri.
“Saya memandang serius isu seorang bapa yang mengendalikan akaun anak perempuannya yang tular di media sosial. Tindakan mengeksploitasi kanak-kanak di dalam talian, walaupun oleh ibu bapa sendiri, adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima.
“Terima kasih kepada semua yang melaporkan isu ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK),” katanya dalam hantaran itu sebagai maklum balas kepada pendedahan pengguna media sosial berhubung isu tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan di kementeriannya sambil memberikan jaminan bahawa siasatan berhubung masalah itu akan dijalankan.
Terdahulu, bapa kepada kanak-kanak itu tampil membuat permohonan maaf atas segala kekhilafan berhubung penciptaan kandungan yang menimbulkan kegusaran orang ramai sebelum ini.
Pempengaruh terbabit turut berterima kasih atas segala teguran dan memberikan jaminan akan lebih berhati-hati sebelum memuat naik perkongsian memandangkan anaknya memiliki ramai pengikut kanak-kanak.
Baca juga: Macam tak percaya kisah hidup Siti Nurhaliza dimasukkan dalam buku teks sekolah