Macam tak percaya kisah hidup Siti Nurhaliza dimasukkan dalam buku teks sekolah

Oleh KIM SYAZIE

Para pengikut dan peminat Bidunita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza seakan tidak percaya kisah hidup penyanyi nombor satu negara itu rupa-rupanya dimasukkan ke dalam sebuah buku teks sekolah di Filipina.

Perkara ini hanya diketahui selepas seorang pengguna media sosial dipercayai rakyat Filipina meninggalkan komen di TikTok Siti Nurhaliza, bertanya adakah beliau merupakan tokoh seni yang dipaparkan dalam buku teks sekolah mereka.

“Awak ke yang ada dalam buku teks Tingkatan 3 (Grade 9) di Filipina? Saya pernah nampak masa masih jadi pelajar Tingkatan 3.

“Buku teks subjek Filipina saya ada satu halaman kisah tentang awak,” tulis individu berkenaan.

Siti yang membaca komen itu kemudian membalas dengan tanda hati berwarna merah, seakan memberi isyarat jawapan kepada pertanyaan berkenaan.

Pada ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa bangga dan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan besar buat Siti.
Malah, ada yang menganggap pencapaian itu sebagai bukti nyata betapa besarnya pengaruh penyanyi nombor satu Malaysia itu di pentas serantau.

Ada juga individu lain yang turut berkongsi gambar halaman buku teks berkenaan sekali gus mengesahkan pencapaian penyanyi tersohor itu yang sememangnya dijadikan contoh dalam pembelajaran di negara jiran tersebut.

Baca juga: ‘Tiba-tiba dia pegang paha’ – Diana Danielle dedah detik diganggu kru produksi