Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa perkara membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina institusi Diraja Selangor sebagai masih belum selesai.
Menerusi Facebook Selangor Royal Office, titah baginda mengenai isu tersebut telah dimuat naik semalam.
Perkongsian tersebut juga memaklumkan bahawa baginda berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan.
“Pertemuan secara berasingan ini membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.
“Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” titah baginda dalam kenyataan itu.
Dalam ucapan Muhammad Sanusi yang tular sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar.
Terdahulu, tular video ceramah Muhammad Sanusi yang membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkannya menghina institusi Diraja Selangor.
Sabtu lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.
Muhammad Sanusi, bagaimanapun, mendakwa ucapannya itu diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah oleh pihak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Baca juga: Produk usahawan desa yang berkualiti akan dipasarkan besar-besaran, kata PM