Jadi OKU sekelip mata, kaki budak 11 tahun putus digilis lori ketika selamatkan kucing

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun terpaksa berdepan dengan ujian terberat di dalam hidup setelah kehilangan sebelah kaki miliknya.

Difahamkan, kaki kanan gadis tersebut terpaksa dipotong setelah mengalami kecederaan parah di anggota berkenaan akibat digilis lori.

Malang tidak berbau, kejadian itu dipercayai berpunca daripada niat murni gadis itu yang mahu menyelamatkan seekor kucing.

Ketika kejadian, anak kecil yang dikenali sebagai Nabila itu secara tiba-tiba berlari menyeberang jalan, lalu dilanggar oleh pemandu lori bermuatan simen.

Sanggup mengorbankan keselamatan dirinya sendiri, kucing yang cuba diselamatkan Nabila malah ditemui dalam keadaan baik-baik sahaja.

Sejurus selepas insiden ngeri tersebut berlaku, Nabila segera dikejarkan hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan.

Nasib tidak menyebelahinya, kaki kanan milik Nabila malangnya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong hingga ke pangkal betis.

Memetik laporan Kompas TV, kejadian tersebut berlaku di kampung Sel Tampang di daerah Labuhanbatu, Sumatera Utara, Indonesia.

Kejadian itu disahkan Ketua Unit Trafik Polis Labuhanbatu, Muhammad Ainul Yaqin yang turut memaklumkan keadaan terkini Nabila.

“Kucing itu berlari ke arah jalan. Pada masa yang sama, sebuah lori yang membawa bahan simen dipandu lalu di kawasan tersebut.

“Kaki kanan dipotong mulai dari betis dan kaki kiri pula masih dibalut dengan kain kasa karena lukanya belum kering.

“Nabila masih memerlukan rawatan daripada pegawai perubatan.” Kata Ainul Yaqin memetik Kompas TV.

Menurut Yaqin, pemandu lori mulanya dinamakan sebagai suspek sebelum kedua belah pihak termasuk keluarga mangsa bersepakat untuk berdamai.

Pemandu berkenaan turut meluahkan hasrat untuk memberikan bantuan perubatan kepada gadis berkenaan.

Baca juga: Sehari guna RM1.20, wanita berjimat dengan makan sisa makanan rakan, sedar diri dari keluarga susah