Jalan utama di Kuala Lumpur akan ditutup sementara sabtu dan ahad ini dan akan dilencongkan secara berperingkat sempena acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2025 dan penamat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus. Beliau berkata KLSCM 2025 akan berlangsung esok dan Ahad ini yang akan melibatkan kira-kira 40,000 peserta, termasuk 3,300 peserta antarabangsa.
“Antara jalan terbabit pada 4 Oktober ini ialah Jalan Raja Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang arah pusat bandar, Jalan P Ramlee serta Jalan Kuching menuju ke Bulatan Dato Onn.
“Bagi acara 21km dan 42km pada 5 Oktober ini, laluan ditutup termasuklah Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Lebuh Raya AKLEH, Lebuh Raya DUKE dan beberapa laluan utama lain sekitar pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Fadil berkata, perlumbaan basikal LTdL 2025 yang bermula di Tangkak, Johor, akan menamatkan peringkat terakhir di hadapan KLCC, Jalan Ampang, kira-kira jam 3 petang Ahad ini.
“Sehubungan itu, beberapa jalan di sekitar KLCC termasuk Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Yap Kwan Seng dan Jalan P Ramlee, akan ditutup sementara bermula jam 2 petang hingga selesai perlumbaan,” katanya.
baca: polis-kl