‘Jangan hanya tambak laut tapi alam sekitar rosak, tiada hasil kepada kerajaan negeri’

Oleh ARIF ATAN

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, pengurusan tambakan laut di negeri itu perlu disusun semula bagi mengelakkan eksploitasi mana-mana pihak yang hanya merugikan kerajaan.

Menurutnya, isu berebutkan projek pasir dan kawasan tambakan laut harus dihentikan dengan langkah penyusunan semula jika PH diberi mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

“Kawasan laut kita adalah aset terbesar negeri Melaka. Kita harus menyusun semula kawasan tambakan laut. Antara yang saya buat sebelum ini adalah menghentikan pengambilan pasir.

“Kita tidak boleh mengambil pasir tetapi pada masa sama merosakkan alam sekitar. Bahkan, kita terpaksa berbelanja lebih pula untuk kawasan yang rosak akibat pengambilan pasir.

“Kita juga tidak boleh biarkan orang ini dapat 1,000 ekar, orang ini dapat 500 ekar (tambakan laut).

“Tidak boleh begitu. Kita harus menyusun semula secara keseluruhan dalam tempoh 10, 20 tahun apa yang mahu kita bangunkan daripada kawasan tambakan itu,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu menegaskan, setiap projek yang diluluskan mesti selari dengan pembangunan yang dirancang serta dapat menyediakan peluang pekerjaaan kepada rakyat.

“Jangan berlaku kita tambak saja tapi pembangunan tidak ada, hasil ekonomi tidak dapat kepada kita.

“Kalau kita tidak susun dengan cara yang betul, negeri akan hilang hasil dan negeri tidak dapat hasil yang sepatutnya,” tambah Pengerusi AMANAH negeri itu lagi.