Jangan jual tanah UM, MP Pas patut mohon maaf

Oleh ARIF ATAN

Penolong Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin mengecam cadangan Ahli Parlimen Pas, Ahmad Fadhli Shaari supaya tanah yang menempatkan Universiti Malaya (UM) dijual untuk dibangunkan.

Yeoh yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut berkata, cadangan wakil rakyat Pas itu tidak menghormati sejarah universiti tertua dalam negara yang telah ditubuhkan pada tahun 1905 serta merupakan antara institusi pengajian tinggi terunggul dalam negara.

“UM mempunyai sejarah sepanjang 116 tahun dan telah melakar sejarah dengan mendidik ramai pelajar cemerlang yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara termasuklah Perdana Menteri kita.

Yeoh Soon Hin

“Cadangan yang dikemukakan oleh MP Pas tersebut tidak logik dan tidak mengenang jasa sumbangan universiti tersebut, yang telah banyak memupuk bakat negara ini.

“Beliau seharusnya memohon maaf atas kenyataan dan cadangan yang dilontarkan serta sudah sepatutnya ia memberikan cadangan yang lebih konstruktif di Parlimen,” kata Yeoh yang juga merupakan alumni UM.

Baru-baru ini, Ahmad Fadhli mencadangkan supaya dipindahkan sebahagian daripada institusi pengajian di ibu kota Kuala Lumpur, seperti UM ke lokasi lain bagi membolehkan tanah tersebut dibangunkan.

Ia juga berkata, tiada keperluan institusi pengajian berada di tengah bandar kerana ia boleh ditempatkan di negeri-negeri lain sekaligus akan merangsang ekonomi di tempat lain, sekiranya adanya universiti.