Jangan membazir di Tanah Suci, fokus ibadah – Sultan Selangor

Oleh MALAYSIADATELINE

Kebanyakan jemaah yang menunaikan ibadah haji pastinya tidak pulang dengan tangan kosong, malah mereka akan membeli pelbagai cenderamata sebagai tanda ingatan untuk dikongsikan bersama rakan dan sanak saudara.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan para jemaah haji agar mengurangkan aktiviti membeli-belah serta berbelanja secara berlebihan ketika berada di Tanah Suci.

Baginda bertitah, peluang menunaikan ibadah haji seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberi tumpuan kepada ibadah lapor Kosmo! Online.

“Perkara penting Beta suka ingatkan kepada jemaah haji ialah menjaga kesihatan diri, tidak membazir, mengawal perbelanjaan dan berjimat cermat terutama dalam situasi ekonomi dunia bergolak ketika ini.

“Tumpukanlah kepada ibadah yang wajib dilakukan dan kurangkan aktiviti membeli belah dan berbelanja ketika berada di tanah suci,” titah baginda seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu, lebih 8,202 bakal haji negeri Selangor hadir ke kursus anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mempersiapkan diri untuk fasa akhir sebelum berangkat ke Tanah Suci bermula 18 April depan.

“Walaupun kos perbelanjaan menunaikan fardu itu terus meningkat dan kuota terhad, masih ramai umat Islam memohon untuk mengerjakan haji.

“Oleh demikian, beta berharap jemaah haji memanfaatkan peluang itu sebaiknya untuk mendapatkan haji mabrur,” titah baginda.

Baca juga: Betul ke minyak Malaysia tak sepatutnya naik & tak lalu pun Selat Hormuz? Ini jawapan menteri