Jho Low didakwa menetap di Shanghai, guna pasport Australia palsu daftar syarikat di UK

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli perniagaan yang kini berada dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low didakwa menggunakan pasport palsu Australia untuk mendaftarkan sebuah syarikat di United Kingdom (UK).

Perkara itu didedahkan oleh wartawan penyiasatan, Tom Wright yang sebelum ini terlibat di dalam pembongkaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi satu hantaran di platform X, semalam.

Dalam perkongsian tersebut, Wright turut menunjukkan bukti berupa dokumen berkaitan syarikat terbabit dengan butiran sama seperti nama, bulan dan tahun lahir ahli perniagaan kontroversi berkenaan.

Wright menjelaskan bahawa maklumat baharu yang diterima ini menunjukkan kemungkinan kaitan Jho Low dengan beberapa entiti korporat di Amerika Syarikat serta hubungan lain di Hong Kong, lapor Berita Harian.

Hantaran dimuat naik oleh wartawan terbabit dijangka akan mencetuskan semula tekanan terhadap usaha pihak bertanggungjawab dalam pengesanan dan ekstradisi Jho Low yang kali terakhir didakwa berada di China.

“Pemburuan terhadap Jho Low membawa kepada bukti baharu. Pasport Australia palsu miliknya (dengan nama dan tarikh lahir sama) dipercayai digunakan untuk membuka sebuah syarikat di UK.

“Maklumat baharu turut diterima membabitkan syarikat di Amerika Syarikat serta kemungkinan ada kaitan dengan Hong Kong,” katanya dalam hantaran berkenaan memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, wartawan penyiasatan lain iaitu Bradley Hope yang juga rakan kepada Wright mendakwa menemukan bukti bahawa Jho Low kini menetap di sebuah kawasan elit terletak di Green Hills, Shanghai, China.

Individu paling dikehendaki dalam kes penyelewengan dana 1MDB itu juga dikatakan menggunakan pasport palsu Australia yang didaftarkan atas nama Greek dalam usaha untuk menyembunyikan identiti sebenarnya.

Perkara itu dibongkarkan Bradley Hope menerusi artikel bertajuk RICH LIST: Playboy Financier Jho Low Turned International Fugitive yang diterbitkan di laman Whale Hunting, pada 18 Julai lalu.

Hope dalam artikel itu turut mendakwa Jho Low memiliki peranan sebagai strategis bayangan kepada kerajaan China dalam membantu syarikat yang dikenakan sekatan antarabangsa untuk terus beroperasi di peringkat global.

Sekadar info, Tom Wright dan Bradley Hope adalah wartawan penyiasatan yang dikenali ramai menerusi pendedahan mereka ketika berkhidmat di The Wall Street Journal mengenai skandal 1MDB.

Mereka juga adalah penulis buku terlaris yang mendokumentasikan kegiatan Jho Low memperdayakan institusi kewangan global, selebriti Hollywood dan pemimpin dunia berjudul Billion Dollar Whale.

Baca juga: PM Anwar ‘belanja’ wargenegara dewasa RM100 tunai secara one-off sempena Hari Kebangsaan!